23 Julai 2022, 20:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Glugor – Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia dan Universiti Sains Malaysia (USM) telah mencapai kesepakatan bagi membangunkan modul kompetensi melalui pembangunan Program Pentauliahan bagi melahirkan pengamal integriti bertauliah serta profesional.

Antara program yang dicadangkan ialah:

  • Professional Diploma in Anti-Corruption and Professional Ethics
  • Professional Diploma in Anti-Corruption and Business Ethics
  • Professional Diploma in Anti-Corruption and Risk Management
  • Professional Diploma in Anti-Corruption and Corporate Governance
  • Professional Diploma in Anti-Corruption and Professional Integrity
Majlis Perisytiharan USM sebagai Rakan Integriti ACelO.

Kesepakatan ini tercapai hasil daripada Kolokium Integriti & Antirasuah (KIAR) yang dilaksanakan selama dua hari di USM. Program Pembangunan Profesional ini merupakan satu pengiktirafan kepada pengamal integriti seterusnya menjadikan integriti dan antirasuah bukan sahaja sebagai budaya, malahan juga sebagai profesion kepada Keluarga Malaysia.

Inisiatif murni kedua-dua pihak, iaitu ACeIO serta USM ini diharap membuka laluan dan lembaran baharu dalam usaha pembudayaan integriti serta antirasuah dalam kalangan Keluarga Malaysia seterusnya mengangkat martabat Malaysia di mata dunia.

Dato’ Dr. Musa Ali, Ketua Pendaftar USM.

KIAR 2022 turut menyaksikan USM diisytiharkan sebagai Rakan Integriti ACeIO yang akan bersama-sama dalam menjayakan agenda integriti dan antirasuah nasional. Ini menjadikan USM sebagai institusi pengajian tinggi dalam negara pertama yang telah menjalinkan hubungan kerjasama strategik dengan ACeIO khususnya dalam pembangunan program profesional kepada pengamal integriti.

KIAR 2022 telah disertai oleh 120 orang Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO), Rakan Integriti dan Pengamal Integriti dari seluruh negara. Sebanyak 22 orang pengamal integriti turut berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam pengurusan integriti serta antirasuah di sektor awam, swasta dan komuniti. Turut menjayakan KIAR 2022 ialah Persatuan Pegawai Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Johor (PERSAJ).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.