Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Program Eksplorasi Alam Lestari merupakan permulaan terbaik dalam usaha meningkatkan semangat kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah – YB Datuk Dr. Radzi Jidin.

Kuala Lumpur Syarikat korporat di negara ini khususnya diseru untuk bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melibatkan organisasi masing-masing dalam program berkaitan dengan alam sekitar dan mengembangkan program tersebut secara lebih meluas.

Program sebegini penting supaya generasi seterusnya dapat mempunyai rasa keinsafan tentang pentingnya memelihara alam.

Demikianlah ujar YB Datuk Dr. Radzi Jidin, Menteri Kanan Pendidikan dalam ucapan beliau semasa Program Eksplorasi Alam Lestari yang merupakan satu daripada program kerjasama KPM melalui Yayasan Didik Negara bersama-sama FGV Holdings Berhad, di Zoo Negara, hari ini.

YB Menteri Kanan Pendidikan bersama-sama Ketua Pengarah Eksekutif FGV Holdings Berhad dan Timbalan Presiden Zoo Negara serta barisan kehormat lain.

Program rintis KPM bersama-sama FGV Holdings Berhad ini diharapkan dapat menerapkan semangat kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan pelajar sekolah.

Tambah YB Menteri Kanan Pendidikan lagi, Program Eksplorasi Alam Lestari ini merupakan permulaan kepada program yang lebih besar dan akan diteruskan lagi ke pusat konservasi dan juga tempat lain di seluruh negara yang melibatkan hubungan antara pelajar dengan alam sekitar.

Program ini merupakan satu komponen di bawah “H” dalam konteks Sekolahku SEJAHTERA, iaitu “Harmoni” kerana kebiasaannya kita bercakap tentang keharmonian manusia sesama manusia; kita jarang bercakap tentang keharmonian antara manusia dengan alam.

Dalam konteks ini, kita ingin lahirkan generasi yang sentiasa dekat dengan alam sekitar dan secara tidak langsung akan menimbulkan kesedaran supaya mereka sama-sama bukan sahaja memastikan kebersihan alam sekitar (terpelihara), tetapi dapat memastikan flora dan fauna terus dapat hidup dengan baik dan generasi pada masa akan datang terus dapat menikmati keindahan alam ini.

Persembahan khas daripada pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Petaling Jaya, Selangor.

Program ini dimeriahkan lagi dengan persembahan oleh pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Lindungan, Petaling Jaya dan turut disertai oleh pelajar daripada beberapa buah sekolah di sekitar Putrajaya.

Turut hadir memeriahkan program ini ialah Ketua Pengarah Eksekutif FGV Holdings Berhad, Encik Mohd. Nazrul Izam Mansor; Ketua Pengarah Eksekutif Yayasan Didik Negara, Encik Hardian Hadir dan Timbalan Presiden Zoo Negara, Encik Rosly @ Rahmat Ahmat Lana.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.