27 Julai 2022, 12:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kejohanan Bola Kid 2022 pada kali ini disertai oleh 56 pasukan yang mewakili sekolah kebangsaan rendah seluruh Perlis.

Kangar – Pasukan Sekolah Tengku Budriah (STB) dan Sekolah Kebangsaan Utan Aji masing-masing muncul juara dalam perlawanan akhir kategori bawah sembilan tahun dan 11 tahun pada Kejohanan Bola Kid 2022 di Stadium Tuanku Syed Putra.

Kejohanan kali ini disertai oleh 56 pasukan yang mewakili sekolah kebangsaan rendah seluruh Perlis dan menjadi medan untuk mengetengahkan bakat pelajar bawah usia dalam bidang sukan bola sepak.

Raja Puan Muda Perlis berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta anakanda bongsu baginda berdua Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.

Bagi kategori bawah 9 tahun, pasukan STB berjaya menumpaskan pihak lawan dari pasukan Sekolah Kebangsaan Oran dengan kemenangan tipis 1-0 yang melayakkan mereka memiliki piala pusingan, pingat dan wang tunai berjumlah RM1800.

Pasukan Sekolah Kebangsaan Oran selaku naib juara berjaya membawa pulang pingat dan wang tunai berjumlah RM1500, manakala tempat ketiga diungguli oleh pasukan Sekolah Kebangsaan Kayang yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1000 berserta pingat.

Dalam kategori bawah 11 tahun, pasukan Sekolah Kebangsaan Utan Aji muncul juara menentang pasukan Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi dengan keputusan 1-0 serta merangkul piala pusingan, pingat dan wang tunai berjumlah RM1800.

Naib johan, Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi pula berjaya membawa pulang pingat dan wang tunai berjumlah RM1500, manakala pasukan Sekolah Kebangsaan Oran membawa pulang hadiah wang tunai RM1000 berserta pingat sebagai pemenang tempat ketiga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.