29 Julai 2022, 16:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – “Jenayah tidak memilih jantina dan jenayah boleh berlaku ke atas sesiapa pun tidak kira masa dan tempat. Kesedaran pencegahan jenayah, jati diri serta kepekaan persekitaran perlu diterapkan kepada masyarakat,” demikian titah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan menyempurnakan penutupan Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF): Women in Search of Excellence (W.I.S.E.) Siri ke-11 yang bertajuk “Lady Boss in The Police Force,” anjuran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bersama dengan YTF, petang semalam.

Mengulas dengan lebih lanjut, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah yang merangkap Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah menitahkan bahawa perilaku semula jadi kaum wanita yang lembut dalam tutur kata dan tingkah lakunya merupakan faktor penting mereka harus dilindungi dan dipelihara dengan baik, sekali gus selari dengan ajaran Islam yang turut mengangkat darjat dan martabat seorang wanita.

Tambah baginda,

Persembahan daripada ahli panel wirawati PDRM dalam webinar tersebut  telah memberikan satu gambaran tentang kehebatan dan kebolehan kaum wanita dalam tugasan kepolisan yang didominasi oleh kaum lelaki.

Kehebatan wirawati PDRM ini akan terus memberikan galakan positif agar lebih ramai kaum wanita menceburi sektor kepolisan yang merupakan antara perkhidmatan terbaik kepada negara dan masyarakat.

Dalam majlis yang sama, DYTM Tuanku Raja Puan Muda turut mendoakan agar wanita di Malaysia terus memperkasakan daya saing, daya kepimpinan serta menceburi peluang kerjaya dalam sektor kepolisan yang tidak hanya didominasi oleh kaum lelaki.

Webinar berkenaan pada awal paginya telah dirasmikan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Penasihat DiRaja YTF.

Terdapat empat sesi perkongsian sepanjang webinar tersebut berlangsung. Antara barisan ahli panel tersebut ialah DCP Dato’ Nerita Yaacob yang menyampaikan perkongsian mengenai “Kerjaya Wanita dan Modal Insan dalam PDRM”, sesi seterunya berkaitan “Macau Scam, Sumbangan Wanita dalam Pencegahan dan Siasatan Jenayah Komersil” oleh DCP Dato’ Sasikala Devi A/P Subramaniam, sesi “Penglibatan Pegawai Wanita dalam Isu Pencegahan Aktiviti Pengganas” oleh DCP Normah Ishak dan “Jenayah Seksual dan Peranan Pegawai Wanita” disampaikan oleh ACP Siti Kamsiah Hassan, manakala Inspektor Zaitul Najihah Abd. Patah bertanggunjawab sebagai moderator.

Turut hadir ialah Ketua Polis Perlis, DCP Dato’ Surina Saad yang turut menyampaikan perkongsian dalam webinar tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.