Oleh John Cham
29 Julai 2022, 19:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dunia kini sedang mengalami pelbagai ledakan ekonomi, sosial dan politik yang agak membimbangkan. Di samping percambahan pelbagai jenis peralatan canggih seperti komputer, jet supersonik dan peralatan rumah yang bergerak hanya dengan menekan satu butang sahaja, terdapat juga negara-negara yang dilanda masalah pemakanan. Mengikut anggaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih kurang 75 juta orang manusia di seluruh dunia menghadapi masalah kebuluran pada ketika ini. Hal ini berlaku terutamanya di negara Dunia Ketiga.

Kebanyakan negara Dunia Ketiga tersebut sering dilanda kebuluran, banjir, konflik perkauman dan kekurangan makanan. Perkara ini disebabkan oleh pertambahan penduduk yang semakin pesat dan tidak terkawal. Di kawasan mundur di negara-negara seperti Mali, Somalia, Etiopia dan Sudan, tiada kawalan ketat ke atas institusi kekeluargaan. Perancangan kekeluargaan yang begitu longgar menyebabkan sesebuah keluarga itu mempunyai sehingga 15 hingga 20 orang anak.

Situasi ini turut melibatkan negara-negara seperti India, Afganistan, Pakistan dan Bangladesh, apabila kanak-kanak menjadi mangsa terhadap budaya kahwin secara paksa berleluasa. Kanak-kanak perempuan belasan tahun atau yang berumur sekitar 10 atau 12 tahun kebanyakannya tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang baik dan dipaksa berkahwin dengan individu yang lebih dewasa daripada mereka.

Dalam hal ini, agensi Program Makanan Sedunia baru-baru ini telah dianugerahkan Hadiah Nobel 2020 kerana usaha badan antarabangsa itu mengusahakan pemberian makanan kepada rakyat yang mengalami krisis kebuluran makanan seperti di Sudan, Eritrea dan sebahagian besar kawasan Sahara. Hadiah tersebut dianugerahkan kepada badan berkenaan kerana usahanya menangani masalah kebuluran, khidmatnya dalam menyumbang ke arah kebaikan, membawa keamanan di negara-negara yang mengalami konflik di antara satu sama lain dan bertindak sebagai kuasa penggerak (driving force) dalam usaha mengelakkan kebuluran dijadikan sebagai senjata perang dan penyelesaian konflik.

Negara-negara maju dan negara-negara yang sedang membangun sering kali memberikan bantuan dari segi teknikal dan kepakaran tentang cara-cara untuk menghasilkan makanan dengan lebih berkesan. Para saintis dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Jepun dan Britain serta dari negara membangun seperti Malaysia sentiasa bertukar-tukar pendapat terutamanya dalam bidang pertanian, bioteknologi serta pelaburan. Dalam bidang pertanian, usaha giat dijalankan di antara negara-negara dunia ketiga ini bagi menghasilkan benih-benih gandum, soya dan kacang yang lebih berkhasiat. Di Tanzania misalnya, penanaman jagung dan gandum giat dijalankan secara besar-besaran bagi menampung bilangan penduduknya yang semakin bertambah. Tenaga buruh semakin kurang diperlukan, sebaliknya lebih banyak mesin dan alat-alat canggih yang digunakan bagi menghasilkannya.

Sekiranya negara Dunia Ketiga mengambil inisiatif untuk menjalinkan hubungan yang baik dengan negara yang lain bagi tujuan perdagangan dan bertukar-tukar pendapat, sudah tentu sedikit sebanyak negara-negara tersebut akan keluar daripada jurang kemiskinan dan kemunduran yang kian menghimpit rakyat mereka. Mereka pastinya tidak mahu melihat rakyat mereka sendiri hidup dalam kedaifan dan kemiskinan yang melarat. Walau bagaimanapun, terdapat negara Dunia Ketiga yang dilanda kekecohan dan kesusahan akibat peperangan dan rasuah yang berleluasa di negara masing-masing.  Satu daripada negara berkenaan ialah Sudan. Pada suatu ketika dahulu, Sudan begitu kaya dengan pengeluaran minyaknya. Akan tetapi, disebabkan  ketamakan pemimpin dan perebutan kuasa antara puak, maka Sudan telah dilanda kebuluran dan kekurangan makanan yang sangat teruk.

Usaha-usaha yang dilakukan oleh beberapa buah badan kebajikan seperti Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Bencana dan Advokasi (OXFAM) bagi mengatasi masalah kebuluran di Darfur, Sudan sememangnya harus dipuji. Nasib Sudan amat baik kerana bantuan kewangan dan makanan datang mencurah-curah sebaik-baik sahaja gencatan senjata dilaksanakan. Kini keadaan di Dafur kembali tenang. Namun begitu, adalah diharapkan agar puak-puak yang bertelagah itu kembali ke meja rundingan bagi membincangkan perkara atau masalah yang menjadi penghalang kepada kemajuan negara tersebut. Para pemimpin negara Dunia Ketiga perlu sedar bahawa keamanan dan kemakmuran dalam kalangan rakyat mereka merupakan kunci utama ke arah kemajuan dan pembangunan di negara mereka sendiri. Sekiranya mereka sering bertelagah dan berpuak-puak, maka sudah tentu agak sukar untuk rakyat mereka hidup dalam keadaan yang aman damai.

Krisis makanan yang sering kali melanda negara Dunia Ketiga bukan sahaja disebabkan oleh peperangan, malah berpunca daruipada malapetaka yang tidak dapat dielakkan seperti musim sejuk, kemarau dan banjir yang berpanjangan. Bagi menangani masalah ini, kebanyakan negara Dunia Ketiga telah mengambil langkah-langkah tertentu seperti menghubungi OXFAM yang turut  menyumbang bantuan makanan kepada negara-negara yang menghadapi masalah kekurangan makanan yang teruk.

Satu daripada masalah besar yang kian meruncing di negara-negara Dunia Ketiga ini termasuklah perebutan kuasa di antara para pemimpinnya. Pada suatu ketika dahulu, di Zimbabwe misalnya, telah berlaku perebutan kuasa di antara Presiden Robert Mugabe dengan pencabarnya Morgan Twazrigai yang telah menyebabkan beribu-ribu rakyat di negara itu hilang tempat tinggal dan mata pencarian mereka. Para penyokong kedua-dua belah pihak bertelagah dan telah mengakibatkan kematian beribu-ribu orang. Kebuluran juga berleluasa. Orang ramai yang kekurangan makanan terpaksa menggeledah dan terpaksa mencuri masuk ke dalam kedai-kedai runcit untuk mencuri  makanan dan minuman. Kematian orang-orang yang tidak berdosa akibat pertelagahan politik dan perbezaan pendapat para pemimpinnya merupakan hal yang amat merugikan dan memalukan. Pada pertengahan tahun-tahun 60-an, Zimbabwe merupakan antara negara yang paling miskin di dunia.

Kegagalan negara Dunia Ketiga yang lain yang enggan campur tangan bagi menyelesaikan krisis politik dan ekonomi di negara-negara seperti Sudan dan Zimbabwe itu merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan krisis sebegitu berpanjangan. Sekiranya negara-negara itu sendiri meminta bantuan daripada kuasa penjajah mereka dahulu, iaitu Britain dan Perancis, mungkin krisis makanan yang melanda negara-negara seperti itu dapat dikurangkan atau pun dihapuskan sama sekali.

Kesimpulannya, kita mengharapkan kerjasama dan semangat bersatu padu di antara satu sama lain boleh mengeluarkan negara-negara Dunia Ketiga ini daripada konflik dan kancah peperangan yang hanya akan merugikan mereka kerana keadaan ini hanya akan menguntungkan pihak yang tidak bertanggungjawab seperti pembekal senjata api yang akan mendapat habuan besar-besaran daripada persengketaan yang berterusan itu.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.