Oleh Normasiska Noor
1 Ogos 2022, 10:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bahawa seorang belia akan dilantik sebagai senator di Dewan Negara ternyata disambut baik oleh semua pihak, lebih-lebih lagi golongan belia yang percaya bahawa dengan suara yang mewakili mereka, nasib belia di negara ini akan lebih terbela.

Pengumuman yang dibuat bersempena dengan sambutan Hari Belia Negara 2022, di Tuaran, Sabah itu amat signifikan dengan kepentingan anak muda dalam pembangunan negara dan pemangkin hala tuju negara pada masa hadapan. Menurut Perdana Menteri penyertaan belia di dalam Dewan Negara akan menguatkan lagi suara generasi muda negara, sekali gus membangunkan lagi golongan berkenaan.

Dari sisi yang sama, pengumuman tersebut dilihat oleh banyak penganalisis politik sebagai langkah awal untuk membuka jalan kepada pelantikan lebih banyak pemimpin muda negara dalam pentadbiran kerajaan pada masa akan datang kerana mahu tidak mahu, semua pihak perlu bersedia untuk tidak menolak kebangkitan pemimpin muda dalam fasa kepimpinan baharu negara. Hal ini lebih-lebih lagi apabila pengundi kini berhak memilih pemimpin semuda usia 18 tahun dan dengan perkembangan dunia dari pelbagai sisi, iaitu maklumat di hujung jari, kecelikan berpolitik dalam kalangan rakyat, serta perubahan landskap politik yang sukar dijangka, segala yang mustahil kini tidak lagi dilihat sebagai mustahil.

Hal ini juga bukan sesuatu yang janggal apabila dunia pada hari ini mengangkat banyak pemimpin muda sebagai mengetuai kepimpinan negara. Beberapa buah negara kini dilihat mula memilih pemimpin muda untuk mengemudi pentadbiran masing-masing. Antaranya termasuklah Gabriel Boric, yang dipilih menjadi Presiden Chile termuda pada usia 35 tahun dan menjadikannya pemimpin negara termuda di dunia. Namun begitu, gelaran untuk pemimpin termuda dunia pada hari ini dipegang oleh Giacomo Simoncini, berusia 26 tahun yang menjadi Captain Regent (Ketua Negeri) San Marino, iaitu sebuah negeri di utara Itali. Di Finland, pada tahun 2019, negara itu melantik Sanna Marin, 34 tahun, sebagai Perdana Menteri.

Ternyata pelibatan dan sumbangan generasi muda di seluruh dunia membuka dimensi baharu dalam landskap kepimpinan tertinggi di sesebuah negara. Perkembangan ini sedikit banyak memberikan kesan kepada kebanyakan negara termasuklah negara ASEAN untuk turut membuka laluan kepada golongan belia untuk menjadi pemimpin negara. Malaysia juga ternyata tidak terkecuali apabila turut mengiktiraf sumbangan, pencapaian, usaha, daya bangkit dan suara seluruh warga belia di negara ini.

Hal ini dikatakan demikian kerana sudah tiba masanya golongan belia memainkan peranan yang lebih besar dalam pembentukan negara bangsa terutamanya dalam memilih pemimpin negara selaras dengan pelaksanaan Pindaan Undang-undang Perlembagaan Persekutuan. Sebagai rekod, jumlah pengundi belia di negara ini yang berusia antara 21 tahun hingga 40 tahun pada tahun 2020 adalah berjumlah 6.2 juta orang, iaitu sebanyak 40.8 peratus daripada keseluruhan 15.3 juta orang pengundi berdaftar.

Menurut Perdana Menteri, pelibatan anak muda yang dilihat semakin meningkat dalam arena politik negara merupakan petanda positif dan perlu dikembangkan dengan lebih meluas. Maka itu, pada 12 Mac 2022 yang lalu, negara mencipta sejarah apabila golongan belia untuk julung-julung kalinya diberikan hak dan mandat untuk mengundi pada Pilihan Raya Negeri Johor, yang mencatatkan peningkatan kira-kira 28 peratus pengundi dengan penambahan hampir 750 ribu orang pengundi berusia 18 tahun ke atas daripada jumlah keseluruhan 2.6 juta pengundi berdaftar susulan pendaftaran automatik Undi18.

“Dengan terlaksananya Undi18 ini, diharapkan belia lebih celik dan cakna tentang sistem demokrasi berparlimen dan peranan mereka sebagai pengundi muda seterusnya meningkatkan jati diri belia untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang,” ujar Perdana Menteri.

Tambahnya, pemimpin belia juga perlu mengambil tahu dan sedar akan penguatkuasaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) yang melibatkan penurunan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun. Pelaksanaan pindaan akta ini dapat meramaikan pemimpin belia di bawah umur 30 tahun, seterusnya memberikan ruang kepada belia untuk mengasah bakat kepimpinan dan mencari pengalaman sebanyak mungkin menerusi ruang yang ditinggalkan.

Kerajaan juga sentiasa peka dan prihatin dengan isu yang melanda golongan belia khususnya dalam menurunkan kadar pengangguran. Berdasarkan dapatan Indeks Belia Malaysia pada tahun 2021 bagi Domain Ekonomi, skor bagi kebolehpekerjaan adalah sebanyak 42.01.

Belia di negara ini sesungguhnya bertuah kerana terdapat lebih daripada 20 inisiatif yang boleh dimanfaatkan oleh golongan belia secara langsung atau tidak langsung melalui Belanjawan 2022 yang telah diumumkan oleh kerajaan, antaranya termasuklah penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, iaitu sejajar dengan perkembangan sektor perniagaan yang sekali gus akan meletakkan ekonomi pada landasan pemulihan yang tepat.

“Satu daripada inisiatif yang ditawarkan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2022 ialah  inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan pada 19 Februari 2022 bagi membantu memperkukuh ekonomi belia,” ujar Perdana Menteri.

Mengambil inisiatif  JaminKerja  yang diperkenalkan oleh kerajaan, terdapat sebanyak 600 ribu peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan muda dengan peruntukan bernilai sebanyak RM4.8 bilion yang terangkum dalam Belanjawan 2022. Usaha ini merupakan satu insentif kewangan yang diberikan kepada majikan yang membuat pengambilan baharu mulai 1 Januari 2022, iaitu dalam kalangan perantis, graduan, golongan mudah terjejas termasuklah orang kurang upaya, bekas tentera, bekas banduan, warga emas serta penganggur am

Tambah Perdana Menteri, kerajaan juga sedar tentang cabaran yang bakal di hadapi khususnya dalam fasa pascapandemik COVID-19 yang pastinya lebih hebat terutamanya dalam sektor ekonomi. Oleh itu, di bawah Rancangan Malaysia ke-12, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan sedang merangka Pelan Kebangsaan Pemerkasaan Ekonomi Belia untuk hala tuju strategik dalam meningkatkan kebolehpasaran dan tahap ekonomi belia.

Umum mengetahui bahawa melalui Belanjawan 2022, kira-kira RM1.2 bilion telah diperuntukkan untuk pelbagai inisiatif bagi manfaat golongan belia termasuk Program ePemula kepada dua juta belia yang berumur 18 tahun hingga 20 tahun atau pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia 4 (SKM4) dan ke atas di institut pengajian tinggi awam dan swasta.

Program ini merupakan sebuah Skim Transaksi Tanpa Tunai yang bertujuan untuk meringankan beban kewangan belia dan memupuk budaya transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia. Ternyata inisiatif yang melibatkan peruntukan berjumlah RM300 juta ini telah pun dilaksanakan dan dinikmati oleh warga belia. Kerajaan juga menawarkan inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia bagi membekalkan sebuah tablet kepada setiap pelajar B40 di institusi pengajian tinggi yang melibatkan keseluruhan kos sebanyak RM450 juta.

“Terdapat lebih daripada 350 ribu orang mahasiswa akan mendapat manfaat serta memudahkan mereka mengikuti aktiviti pembelajaran secara dalam talian, melayari internet untuk tujuan penyelidikan dan sebagainya. Pada masa yang sama, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif kepada majikan yang menggaji perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun dengan insentif sebanyak RM900 sebulan selama enam bulan bagi membolehkan belia menjayakan agenda pemulihan melalui alam pekerjaan,” jelas Perdana Menteri.

Sementara itu, bagi belia yang cenderung ke arah keusahawanan, kerajaan turut menyediakan pelan pembiayaan bernilai RM150 juta melalui Bank Simpanan Nasional dan Agrobank. Kerajaan juga menyedari bahawa banyak anak muda yang memulakan kerjaya di ibu kota berdepan dengan isu perumahan. Oleh itu, kerajaan akan memastikan mereka mampu memiliki kediaman sendiri selari dengan aspirasi Satu Keluarga Satu Rumah, termasuklah memperkasakan kediaman berkonsepkan transit atau Transit Oriented Developement.

Peranan anak muda, khususnya yang berusia 18 tahun di negara ini pastinya menjadi perhatian dalam PRU ke-15 kelak. Hal ini dikatakan demikian kerana PRU pada kali ini akan menjadi pentas pertama dalam sejarah negara yang akan menyaksikan anak muda berusia 18 tahun memangkah pemimpin mereka dan menentukan kerajaan yang akan mengemudi negara. Oleh itu, banyak pihak yang menjangkakan bahawa pada PRU ke-15 yang sedang dinantikan oleh seluruh rakyat di negara ini, pentas itu akan menampilkan lebih banyak sosok anak muda dalam arena politik negara. Sama ada anak muda yang terpilih sudah benar-benar bersedia untuk membawa suara anak muda Malaysia, jawapannya akan dapat buktikan apabila mereka berada dalam radar politik negara dan menjadi pemimpin kelak. Di situlah mereka akan diuji sama ada mereka benar-benar layak ataupun sebaliknya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.