2 Ogos 2022, 21:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Adakah penerbitan alternatif semakin mewarnai dan memperluas ideologi penulisan? Tonton Bicara Penerbit Malaysia 2022 yang membincangkan isu “Taufan Buku Alternatif Mewarnai Industri Perbukuan Negara”.

Kuala Lumpur – Tidak dinafikan bahawa kebanyakan buku yang dijual di pasaran mempunyai pelbagai genre, antaranya termasuklah genre romantik, seram, cinta dan agama. Baru-baru ini, penjualan buku alternatif dilihat menerajui pasaran industri perbukuan negara.

Oleh itu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mengundang dua ahli panel dalam program Bicara Penerbit Malaysia 2022 bagi membicarakan isu Taufan Buku Alternatif Mewarnai Industri Perbukuan Negara. Panel yang diundang ialah Pengarah Jabatan Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Tuan Haji Razali Che Mat dan Pengasas Buku Fixi, Encik Amir Muhammad.

Menurut Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, penerbitan alternatif banyak membantu dalam meningkatkan industri perbukuan negara.

Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat.

Sebagai penerbit, kita tidak boleh bersendiri dan perlu bersatu kerana matlamat yang satu, iaitu memandaikan bangsa kita tanpa mengira kategori buku.

“Penerbitan alternatif ini merupakan sesuatu inisiatif yang bagus dan baik dalam industri buku kerana dapat melonjakkan pasaran perbukuan. Malah, tabiat membaca dalam kalangan orang muda juga dilihat semakin memberangsangkan.

Sehubungan dengan itu, DBP sentiasa menyokong usaha penerbitan demi merealisasikan matlamat yang sama. Katanya lagi, sambutan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) telah berjaya menarik kehadiran 1.25 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya dan menunjukkan masyarakat masih meminati buku.

Dalam perkembangan yang sama, Encik Amir Muhammad berkongsi pengalaman bahawa beliau mula menghasilkan buku indie kerana sedar bahawa terlalu banyak lambakan buku yang berkisar tentang cinta, masakan dan agama.

Pengasas Buku Fixi, Encik Amir Muhammad.

Saya cipta kelainan dan tidak sangka fenomena indie dalam industri buku Malaysia mencapai zaman kegemilangan waktu dahulu dan menaikkan kembali minat membaca dalam kalangan generasi muda.

“Penurunan jualan buku tidak dapat dielakkan, terutamanya apabila melihat keadaan ekonomi kini yang tidak menentu, tetapi distabilkan oleh jualan dalam talian,” jelas Pengasas Buku Fixi ini yang berpendapat bahawa fenomena belian buku alternatif hakikatnya sudah berlaku sejak pelaksanaan Baucar Buku 1 Malaysia diperkenalkan lagi.

Dari segi pemasaran, beliau mengakui bahawa tahun 2022 membawa kejutan kerana penjualan buku datangnya daripada platform media sosial, seperti TikTok yang menaikkan jualan pemasaran buku.

Menyetujui hal itu, Tuan Haji Razali Che Mat berkata bahawa kebanyakan buku yang terjual ialah hasil daripada usaha penerbit itu sendiri yang mempromosikan buku mereka. Hal ini disebabkan mereka mempunyai pengikut mereka sendiri dan perkara ini berbeza dengan zaman dahulu yang berharap pada pemasaran semata-mata sahaja.

“Selain itu, penulis sendiri yang berhak untuk memberitahu bahawa hasil karya mereka bagus, ditambah lagi dengan pembelian buku yang boleh dibuat secara dalam talian,” katanya.

Tambah beliau, dari segi gaya bahasa dan penulisan, perkara ini adalah sangat subjektif. Hal ini demikian kerana setiap penulis mempunyai cara mereka tersendiri dalam menulis karya dan kemungkinan hasilnya akan berubah mengikut faktor usia dan personaliti seseorang penulis.

Menerusi bicara tersebut juga, beliau menjelaskan bahawa:

DBP juga menyediakan Dana Penggerak Industri Perbukuan Negara kepada penerbit, iaitu kita akan membiayai kos penerbitan tertentu untuk memberikan galakan kepada penulis.

“Hal ini bertujuan sebagai satu platform untuk mengetengahkan lagi bakat yang sedia ada dalam kalangan penulis muda kita,” tambah beliau dalam Bicara Penerbit Malaysia pada petang tadi yang berlangsung selama dua jam secara dalam talian.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.