2 Ogos 2022, 01:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan bulan kemerdekaan negara pada tahun ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus komited merangka program terkini, iaitu “Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan” bermula pada 1 Ogos hingga 16 September 2022.

Dalam sebuah wacana yang berlangsung pada malam tadi, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Encik Zainal Abas berkongsi tentang program yang bakal dilancarkan oleh Menteri Kanan Pendidikan, YB Senator Datuk Dr. Radzi Jidin yang akan berlangsung pada 20 Ogos kelak, iaitu “Inisiatif Pemantapan ICT” yang akan menaik taraf kira-kira 7000 makmal komputer di sekolah seluruh negara bagi memantapkan sistem transformasi pendidikan Malaysia, berserta pelancaran aplikasi DELIMa 2.0.

Menurut beliau, bersempena dengan bulan kemerdekaan ini juga, KPM akan menganjurkan sebuah pameran tranformasi pendidikan yang akan bermula pada 12 hingga 14 Ogos di Alamanda Putrajaya yang bakal mengetengahkan bakat-bakat inovasi pelajar, aktiviti sukan dan persembahan kebudayaan.

Dalam rancangan Ruang Bicara yang berlangsung di Bernama TV itu juga, Encik Zainal Abas berkata, program “Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan” tersebut merupakan ruang terbaik untuk KPM menerangkan kepada khalayak tentang program-program transformasi yang telah dilaksanakan oleh KPM, program yang sedang dilaksanakan serta program yang akan dilaksanakan pada masa akan datang.

Menurut beliau, tranformasi pendidikan di Malaysia berlaku rentetan daripada penularan wabak COVID-19 yang melanda di seluruh dunia. Oleh itu, program ini juga bertujuan untuk menerangkan kepada masyarakat mengenai langkah-langkah proaktif KPM dalam usaha memantapkan sistem pendidikan negara semasa berdepan dengan pandemik COVID-19 dua tahun lalu.

Tambah beliau lagi, proses digitalisasi pendidikan berlaku dengan begitu pantas selepas COVID-19 melanda di seluruh dunia. Penggunaan teknologi seperti aplikasi Zoom dan Google Classroom yang tidak pernah digunakan sebelum ini berjaya menjadi pelantar pendidikan yang sudah menjadi kebiasaan dalam negara pada masa ini.

Menurut beliau, pada masa yang sama, KPM turut melaksanakan program “Didik TV” yang mengundang guru-guru ke studio televisyen bagi mengajar mata pelajaran sekolah secara digital khusus kepada murid yang tidak memiliki akses kepada Internet dan peranti.

“Cara penandaan kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga termasuk dalam transformasi pendidikan di Malaysia dengan kaedah imbasan skrip jawapan peperiksaan berjumlah kira-kira lima juta sebelum dimasukkan ke dalam sistem untuk penanda kertas peperiksaan menanda kertas secara dalam talian,” jelas beliau semasa diwawancara oleh Datuk Sherkawi Jirim, tokoh penyiaran popular tanah air.

Mengulas lanjut berkenaan dengan maklum balas murid dan guru terhadap transformasi pendidikan, beliau mengakui bahawa pada awalnya, usaha yang dilakukan itu agak sukar kerana terdapat sebilangan pelajar yang tiada akses kepada Internet dan peranti. Walau bagaimanapun, kekangan ini akhirnya dapat ditangani dengan sesi libat sama ibu bapa murid dalam modul-modul yang disediakan oleh pihak sekolah.

Seterusnya, melalui transformasi pendidikan pada hari ini, beliau mendapati kemahiran inovasi dalam kalangan guru dan murid dapat dipertingkatkan terutamanya dalam pertandingan inovasi. Hasilnya, guru dan murid yang menjadi juara pertandingan inovasi tersebut dapat membantu meningkatkan lagi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah.

Sementara itu, antara usaha lain KPM dalam membantu para pelajar yang tiada kelengkapan Internet adalah dengan penyerahan peranti berserta data Internet hasil sumbangan daripada pelbagai syarikat.

Mengakhiri sesi bual bicara dalam program Ruang Bicara itu, beliau menyeru masyarakat supaya dapat bersama-sama menyemarakkan lagi transformasi pendidikan di Malaysia supaya sistem pendidikan negara kita tidak ketinggalan dan setaraf dengan negara-negara maju.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.