6 Ogos 2022, 15:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri (tengah) merasmikan Majlis Peluncuran Buku Genta telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru yang bersaksikan penulisnya, YM Raja Ahmad Aminullah dan Pengasas Gerak Budaya, Chong Ton Sin.

Kuala Lumpur – Buku Genta telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru hasil karya YM Raja Ahmad Aminullah yang merupakan penulis, penyair dan budayawan telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri di PAUM Clubhouse, Universiti Malaya pada pagi tadi.

Buku Genta telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru berkisar tentang permasalahan negara yang harus diambil tindakan segera dalam mendirikan visi masyarakat dan bangsa yang progresif oleh generasi baharu, selain menggerakkan revolusi pemikiran yang lebih matang.

Dalam majlis pelancaran buku yang berlangsung hampir dua jam, YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah menyokong kuat pandangan penulis tersebut yang menegaskan bahawa ruang politik bukanlah untuk membina kekayaan dan kemewahan peribadi, tetapi adalah sebenarnya lahan khidmat untuk menegakkan perjuangan murni.

YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah ketika merakamkan tahniah kepada penulis atas karya penulisan yang memberikan manfaat kepada masyarakat dan khususnya pemimpin negara.

Politik ilmu, bukan politik ampu; politik hikmah, bukan politik fitnah; dan politik bakti, bukan politik undi.

YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah berkata, YM Raja Ahmad menggunakan kata “Genta” dalam tajuk buku ini membawa makna “loceng amaran” yang merujuk pemberitahuan. Buku ini dilihat telah menghimpunkan sejumlah perkara yang menggusarkan rakyat, seperti pemimpin yang pecah amanah, penyelewengan dan pengkhianatan.

Menurut YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, negara memerlukan ahli politik yang berorientasikan polisi bukan berorientasikan personaliti semata-mata. Ahli politik yang berilmu tinggi dapat memastikan kestabilan negara terus terjamin, sekali gus menyatupadukan Keluarga Malaysia melalui kematangan sebagai pemimpin.

“Oleh itu, saya mengundang YM Raja Ahmad bersama-sama membangunkan idea demokrasi Malaysia yang pelbagai kaum dan moderat. Nasib kita bergantung pada generasi baharu. Satu daripada tiga cabaran besar yang sedang dihadapi oleh dunia ialah kemajuan teknologi,” ujarnya. Tambah beliau lagi:

Hari ini kita hidup dalam dua dunia, iaitu kehidupan fizikal dan kehidupan digital. Ramai dalam kalangan generasi saya tidak selesa berada dalam kehidupan digital, tetapi saya yakin generasi anak muda bukan sahaja selesa, malahan merekalah menjadi penggerak kehidupan digital.

YM Raja Ahmad Aminullah, penulis buku Genta telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru.

Mengulas lebih lanjut, YM Raja Ahmad Aminullah turut berkata,

Pada masa sekarang merupakan waktu yang tepat untuk generasi baharu melakarkan sumbangan mereka pada pembangunan dan pentadbiran negara. Seorang pemimpin seharusnya membuat keputusan yang rasional dalam suasana yang kondusif dan membela hak rakyat.

Ujarnya lagi, generasi kini perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk mencari peluang terbaik dalam menyuarakan pendapat yang tidak hanya menunggu ruang diberikan.

“Jadi jangan tunggu jika tidak dijemput, jadilah mandiri yang berdiri di atas kaki sendiri,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran buku tersebut.

“Pada masa yang sama, saya menggesa pihak berkuasa untuk memberikan ruang dan golongan muda pula tidak hanya semata-mata menunggu peluang itu agar pandangan mereka tidak tenggelam dalam perbincangan atau perbicaraan.”

Selain itu, penulis tersebut turut mengutarakan pendapat bahawa generasi baharu bukan hanya pemimpin masa depan, malah menjadi pemimpin yang memimpin golongan lebih muda dan seangkatan dengannya.

“Jadilah pemimpin yang senadi dan senada dengan rakyat,” ujar penulis yang berjuang melakukan revolusi pemikiran demi negara yang tercinta.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.