8 Ogos 2022, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala LumpurBuku Kesarjanaan di Lembah Pantai: Biografi Profesor Melayu Universiti Malaya Jilid 1 hasil karya Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Universiti Malaya telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Yatimah Alias, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Malaya di Akademi Pengajian Melayu, Univesiti Malaya pagi ini.

Hampir 100 orang tetamu hadir ketika majlis pelancaran buku pada pagi ini. Antara tetamu yang hadir termasuklah ahli akademik dan pelajar Universiti Malaya.

Buku Kesarjanaan di Lembah Pantai ini disusun untuk merangkum catatan-catatan kehidupan akademik para profesor demi memulihara akar yang kuat dan menjadi ciri khas budaya akademik di kampus tertua di tanah air ini. Sebagai menghormati peranan mereka dalam proses pembangunan Univesiti Malaya, maka timbul cadangan supaya dihasilkan buku yang mengandungi biodata golongan ini dan barisan profesor yang menyusuli mereka selepas itu.

Dalam majlis pelancaran buku yang berlangsung hampir dua jam, Profesor Dr. Yatimah Alias menyokong kuat dan menghargai usaha penghasilan buku ini. Impak buku ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kompetensi bagi universiti-universiti lain untuk mencontohi legasi keilmuan Universiti Malaya.

Menurut Pengarah Pusat Kajian Kecemerlangan Melayu, Profesor Dr. Hashim Ismail, usaha untuk menghasilkan buku ini adalah hasil daripada cadangan mantan profesor Universiti Malaya.

“Ada cadangan supaya penerbitan biografi ahli-ahli akademik Melayu khususnya profesor-profesor yang cemerlang dikumpulkan dalam satu buku,” jelas Profesor Dr. Hashim Ismail. Menurut beliau, profesor-profesor Melayu yang telah berkhidmat di Universiti Malaya ini telah banyak memberikan sumbangan kepada pembangunan universiti secara khusus dan pembangunan masyarakat serta negara secara umunya.

Daripada kalangan ini, yang terulung ialah Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, iaitu Naib Canselor Melayu pertama yang amat dihormati dan berkaliber. Ketokohan beliau sungguh dikagumi bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara.

Menurut seorang daripada mantan profesor, iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim yang juga merupakan pakar bahasa dan Ketua Editor buku jilid pertama berkata bahawa semua mantan profesor secara sukarela telah terlibat dalam menghasilkan buku ini.

“Kita fokuskan buku jilid pertama dengan melibatkan profesor Melayu diikuti oleh profesor bukan Melayu bagi buku jilid seterusnya kerana sumbangan mereka juga besar,” jelas beliau. Beliau turut menambah bahawa inilah masanya untuk membawa nama tokoh-tokoh akademik dari Universiti Malaya ke peringkat nasional.

Semua biografi profesor yang berjaya dikumpulkan sehingga penghujung 2019 dimuatkan dalam jilid pertama buku ini. Usaha penerbitan buku ini bagi jilid-jilid seterusnya akan diteruskan dari semasa ke semasa. Program ini merupakan satu inisiatif terbaik untuk mewujudkan peluang bagi melahirkan cendekiawan dan ahli akademik bagi generasi yang akan datang.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!