Oleh Jasni Sabri
10 Ogos 2022, 17:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Institusi pengajian tinggi memainkan peranan yang sangat penting dalam menghasilkan tenaga kerja berkelulusan tinggi untuk negara. Tenaga kerja ini mempunyai latar belakang pengetahuan yang berbeza berdasarkan kepada bidang pengajian yang telah diikuti di sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT). Bidang pengajian yang ditawarkan dan diikuti sudah semestinya berteraskan keperluan pengisian tenaga kerja, seiring dengan perancangan masa hadapan untuk menggerakkan pembangunan dan kemajuan negara. Oleh itu, lahirlah jentera pelaksana pembangunan dan kemajuan negara yang terdiri daripada graduan lepasan IPT. Graduan lepasan IPT yang dihasilkan pada setiap tahun akan menjadi pelapis kepada tenaga kerja senior yang akan dan yang sudah bersara. Maka, terjadilah satu pusingan penghasilan tenaga kerja negara yang seharusnya berterusan selagi adanya IPT, staf dan sistem sokongan pentadbiran dan pengurusan yang mantap serta ahli akademik yang dedikasi dan berkaliber.

Ahli akademik di sesebuah IPT dengan berbagai-bagai bidang kepakaran yang berkepentingan untuk memaju dan membangunkan negara memainkan peranan yang sangat signifikan dalam menghasilkan tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi bagi mencorakkan masa depan negara. Sehubungan dengan itu, ahli akademik merupakan tenaga kerja berkepakaran penting yang menyumbang kepada penghasilan tenaga kerja untuk negara yang terdiri daripada graduan lepasan IPT. Oleh itu, pengambilan dan kecukupan staf akademik di sesebuah IPT perlu dirancang dengan teliti supaya kelompangan kepakaran tidak berlaku sehingga menjejaskan pengajaran dan pembelajaran kursus-kursus yang ditawarkan dalam sesuatu kurikulum bidang pengajian, serta kualiti pelajar yang akan dihasilkan yang merupakan tenaga kerja masa depan negara.

Pengambilan staf akademik pelapis dalam bidang berkaitan yang akan kehilangan pakar kerana persaraan sebaik-baiknya dimulakan tujuh atau lapan tahun sebelum seseorang ahli akademik dalam bidang kepakaran penting tersebut bersara. Sebaik-baiksahaja ahli akademik pelapis tamat pengajian Sarjana Muda dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), ahli akademik senior masih  mempunyai tempoh dua atau tiga tahun lagi dalam perkhidmatan sebelum bersara untuk membantu melatih dan mendidik ahli akademik junior dalam bidang kepakaran yang berkaitan. Hasrat ini boleh dijalankan melalui program bimbingan atau mentor antara senior yang berpengalaman dengan junior yang baharu sahaja menceburi perjalanan karier sebagai ahli akademik.

Karier sebagai ahli akademik agak mencabar. Ahli akademik bukan hanya berperanan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran sahaja, tetapi juga dalam penyelidikan, inovasi dan perundingan serta menyumbang kepada perkhidmatan kepakaran, makmal diagnosis dan penganalisisan serta program kesejahteraan masyarakat. Tidak kurang juga, terdapat ahli akademik yang memegang jawatan pentadbiran dan pengurusan di IPT.

Dengan perancangan pengambilan staf akademik yang strategik serta program bimbingan yang teratur, pembentukan ahli akademik yang berkualiti akan mempengaruhi kualiti graduan yang akan dihasilkan nanti. Imej sesebuah IPT akan terus dijulang kerana kualiti graduan yang dihasilkan mencerminkan tenaga pengajar dan sistem kerja yang saling bersinergi dan menyokong serta mencurahkan jasa bakti tanpa batasan.

Setiap IPT sudah tentunya berwawasan dalam melahirkan graduan yang berkualiti. Perkara yang dimaksudkan dengan graduan berkualiti ialah graduan yang holistik atau serba boleh. Seseorang pelajar mungkin boleh mendapat markah yang baik dalam sesuatu kursus tetapi tidak mampu atau kaku untuk berbicara, berhujah atau menulis dengan berkesan dan teratur,  apatah lagi berfikiran kritikal dalam sesuatu aspek pengajian yang sedang dibincangkan. Seseorang pelajar IPT perlu memaparkan ciri-ciri kemahasiswaan yang sesuai dengan keberadaannya di menara gading dan bukannya seperti pada zaman persekolahan dahulu dengan pendidikan dan suasana pembelajaran yang asas. Kematangan berfikir diasah dan dilenturkan agar dapat mencerminkan peranan IPT melalui kesungguhan ahli akademiknya dalam membentuk tenaga kerja berintelek dan berwawasan.

Wawasan ini adalah selari dengan aspirasi falsafah pendidikan negara yang perlu didukung dan diamalkan oleh setiap ahli akademik. Dengan berpegang teguh pada amalan ini, niat untuk menghasilkan tenaga kerja serba boleh untuk memacu pembangunan dan kemajuan negara pasti akan tercapai. Perkara ini merupakan niat yang sangat murni bagi seseorang ahli akademik. Sehubungan dengan itu, peranan ahli akademik dalam membentuk graduan yang hanya berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang pengajian yang diikuti oleh pelajarnya, bukan sebenar-benarnya hasrat murni dalam karier akademik sekiranya falsafah pendidikan negara menjadi pegangan longgar oleh seseorang ahli akademik.

Oleh sebab perjalanan karier setiap ahli akademik agak berbeza di menara gading, umpamanya fokus yang lebih dalam bidang penyelidikan, peranan membentuk graduan serba boleh ini mungkin boleh disempurnakan oleh ahli akademik tertentu. Senario kerja ini membantu melengkapkan peranan IPT dalam menyahut kepentingan penghasilan pelajar beracuankan falsafah pendidikan negara ini secara terancang, dengan semangat berpasukan memenuhi visi dan misi sesebuah IPT secara bersama dengan tumpuan peranan oleh setiap seorang ahli akademik.

Peranan menghasilkan graduan yang holistik merupakan tanggungjawab Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang mengorganisasikan aktiviti ko-kurikulum pada peringkat IPT. Ahli akademik tertentu juga berperanan sebagai pengetua dan felo kolej kediaman pelajar di bawah HEP. Keadaan ini lebih sinonim dengan IPT yang mempunyai kolej kediaman atau asrama bagi pelajar tinggal semasa dalam pengajian. Pengetua dan felo membantu IPT dengan meluangkan masa serta curahan tenaga dan keringat, selain urusan penyampaian bersifat akademik di fakulti, dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan graduan holistik yang berkualiti.

Di kolej kediaman pelajar, aktiviti ko-kurikulum seperti kebudayaan dan kesenian, sukan, kepemimpinan, kerohanian dengan penerapan adab dan kesopanan, pemerkasaan peribadi, pertandingan pidato, penerapan semangat patriotisme kemerdekaan dan khidmat masyarakat menjurus kepada hasrat pembentukan graduan serba boleh. Ahli akademik yang meluangkan masa sebagai pengetua dan felo yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi merupakan insan yang istimewa kerana membantu negara menghasilkan tenaga kerja yang serba boleh dan berwibawa. Pertandingan bakat seperti pidato menggalakkan semangat berpasukan untuk meraih kemenangan secara sihat dan profesional. Pertandingan seperti ini mampu mencungkil bakat untuk pertandingan seterusnya pada peringkat antara IPT. Oleh sebab sifat yang mulia merupakan tunjang kepada kejayaan graduan dalam karier mereka sebagai tenaga kerja negara, pembangunan insan di IPT juga perlu diambil serius dengan mengambil kira pembentukan sikap yang terpuji dan disegani. Ilmu yang tinggi tanpa sikap baik yang disebatikan dalam jiwa bukan paparan sebenar insan yang berpelajaran tinggi tetapi kepincangan pembentukan peribadi akibat asuhan dan penerapan nilai tambah peribadi yang tersasar. Hal ini akan berlaku sekiranya keegoan dan keangkuhan menguasai diri yang melepasi kesedaran bahawa sikap yang terpuji itu merupakan asas utama kepada apa-apa penceburan ke arah kejayaan hidup bagi graduan yang akan menjadi tenaga kerja penting negara.

Kehidupan di kolej kediaman dengan aktiviti membina diri mewarnai perjalanan hidup pelajar mempersiapkan diri menjadi tenaga kerja yang berupaya dan berdaya saing untuk negara. Aktiviti ko-kurikulum memberi peluang dan ruang kepada pelajar meneroka keupayaan diri sendiri dan menyerlahkan bakat yang terpendam melalui penglibatan secara terancang, di samping kesibukan mengejar impian bergelar graduan berpelajaran tinggi dengan kelulusan akademik. Suasana keilmuan di kampus yang diterapkan dengan nilai kehidupan sebegini sebenarnya meletakkan kolej kediaman pelajar bukan sebagai tempat menginap semata-mata, malah sebagai satu entiti yang unik, aktif dan berterusan membantu pembentukan graduan serba boleh. Selain kolej kediaman, entiti akademik juga boleh menjalankan aktiviti ko-kurikulum. Aktiviti pada peringkat fakulti pada kebiasaannya dijalankan oleh persatuan pelajar yang berkaitan dengan program pengajian pelajar. Sebagai contoh, aktiviti tersebut dijalankan oleh Persatuan Pelajar Veterinar di Fakulti Perubatan Veterinar dengan penasihat persatuan yang terdiri daripada ahli akademik.

Graduan yang serba boleh sebegini merupakan bakal pemimpin pelapis negara yang boleh mencorakkan kemajuan sosioekonomi dengan ilmu kepemimpinan yang telah diterapkan melalui aktiviti ko-kurikulum selain ilmu akademik. Negara memerlukan pemimpin yang bijaksana, berkarisma, dinamik dengan ilmu akademik dan pembangunan insan yang telah diterapkan dan disebatikan bersama, yang berupaya menaikkan taraf hidup rakyat dan kemakmuran sosioekonomi negara serta menjadikan warga dan negara Malaysia disegani di dunia.

Sehubungan dengan itu, setiap IPT dengan strategi masing-masing perlu terus mendukung pelaksanaan falsafah pendidikan negara ke arah pembentukan graduan holistik. Jasa bakti ahli akademik yang terus menyahut seruan ini merupakan sebuah pengorbanan sejati untuk negara. Apabila keutamaan negara menjadi asas kepada karier seseorang ahli akademik, golongan ilmuwan ini telah memaparkan sikap patriotisme pendidikan yang boleh disanjung tinggi dan terpuji untuk kepentingan negara Malaysia yang dicintai.

Dr. Jasni Sabri, Alumni Staf Akademik, Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaysia Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.