10 Ogos 2022, 15:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2022 pada kali telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau, Sabah.

Kuala Lumpur – Menelusuri agenda besar negara, bahasa kebangsaan wajar dipupuk oleh rakyat Malaysia bagi membina tamadun dan jati diri bangsa.

Tidak kurang pentingnya, peranan institusi pendidikan juga perlu berupaya mendekati generasi muda melalui aktiviti yang menyokong pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama-sama rakan sinerginya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menganjurkan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2022 bersempena Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP pada pagi ini.

Penganjuran Forum Remaja ini bukan sahaja menggalakkan penggunaan dan pembakuan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan pelajar, bahkan merupakan sebuah program yang dapat mempertingkatkan keyakinan dan kreativiti pelajar berkarya dalam pelbagai platform seperti digital, serta mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi.

YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum).

Demikianlah ucapan Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2022 yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Dasar dan Kurikulum), selepas tayangan sedutan video pertandingan.

YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali berkata, forum ini bersesuaian dengan matlamat pendidikan yang mendukung Falsafah Pendidikan, yakni melahirkan pelajar yang seimbang secara holistiknya dari segi jasmani, emosi, rohani, sosial dan intelek.

Setiap anak mempunyai potensinya yang tersendiri, ibarat sebutir benih. Apabila digilap, diasuh oleh guru dan dididik oleh ibu bapa, pastinya anak-anak ini akan terus maju.

“Kita mesti memulakan satu kaedah kepimpinan baharu yang memberikan kepercayaan dan keyakinan kepada anak-anak kita.

YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali mengakui bahawa sistem pendidikan negara perlu melengkapkan setiap pelajar dengan segala kemahiran baharu yang diperlukan untuk merebut peluang dalam menangani cabaran teknologi pendigitalan.

Sementara itu, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP mengatakan bahawa DBP mendukung aspirasi KPM dalam mencapai konsep Sekolahku SEJAHTERA, misalnya Pertandingan Forum Remaja ini jelas dilihat dapat melahirkan modal insan yang petah bercakap, bercakap secara rasional, terampil serta mempunyai usaha untuk eksplorasi.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Ketua Pengarah DBP.

Antara perkara yang paling asas ialah artikulasi. Kita mahukan anak-anak yang menyertai pertandingan ini dapat mengemukakan idea yang baik dan menyampaikan idea tersebut secara berkesan.

“Saya percaya era kegemilangan pendidikan kita dapat dicapai dalam waktu terdekat dengan usaha bersungguh-sungguh daripada semua pihak kementerian, khususnya KPM,” kata beliau dalam majlis ini yang turut berlangsung secara dalam talian menerusi Facebook DBP dan RadioDBP.

Ujar Ketua Pengarah DBP, beliau percaya bahawa program sebegini dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja pandai dari segi intelektual, malah berkemahiran dalam menghujahkan pendapat secara baik, rasional dan matang, serta mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang diperoleh apabila berinteraksi dengan pihak lain.

YBhg. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera selaku Ketua Juri Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2022.

Mengulas lebih lanjut, YBhg. Dr. Haji Abang Patdeli Abang Muhi, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera selaku Ketua Juri Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2022 berkata,

Pada dasarnya, Pertandingan Forum Remaja diadakan adalah untuk mempertingkatkan penggunaan bahasa baku dalam kalangan pelajar.

Sehubungan dengan itu, terdapat beberapa kriteria dalam pertandingan forum ini. Antaranya termasuklah, pelajar harus memahami format atau struktur forum tersebut; persembahan yang semula jadi meskipun hujah tersebut dihafal, serta memastikan rujukan maklumat yang dilontarkan adalah sahih dan terkini.

Juara bagi Pertandingan Forum Remaja Peringkat Kebangsaan 2022 pada kali telah dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau, Sabah, manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sultan Muhammad, Melaka dimenangi tempat kedua, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Putrajaya, tempat ketiga dan Kolej GENIUS Insan, Nilai, Negeri Sembilan tempat keempat.

Selain itu, pemenang bagi kategori Ahli Forum Terbaik ialah Nurul Athirah Fatawari dan Pengerusi Forum Terbaik dimenangi oleh Fatin Hamimi Zulkifli, iaitu kedua-duanya dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau, Sabah.

Dalam perkembangan yang sama, majlis penyampaian hadiah turut disampaikan oleh YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali kepada pemenang bagi 10 kategori pertandingan, seperti Pertandingan Bercerita “Sekolahku Sejahtera” Tahap 1; Pertandingan Bercerita “Sekolahku Sejahtera” Tahap 2; Pertandingan Animasi Rara Riri Eksperimen Sains; Pertandingan Melukis Komik; Kuiz Sains dan Teknologi; Pertandingan Mencipta dan Mendeklamasikan Sajak Sains; Pertandingan Menulis Cerita Digital “Keluarga Malaysia”; Pertandingan Wartawan Cilik; Pertandingan Tiktok Tazkirah Tahap 1; Pertandingan Tiktok Tazkirah Tahap 2; dan Pertandingan Tiktok Pantun.

Turut hadir bersama-sama ialah YBrs. Puan Rafea’ah Haji Nahar, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Pembangunan) KEMAS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.