Oleh Aninah Janang
10 Ogos 2022, 21:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi bersama-sama warga kampus meraikan sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

Perlis – Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan 2022, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis, pada hari ini mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang bagi meningkatkan penghayatan nilai-nilai murni dan semangat cinta akan negara dalam kalangan warga kampusnya.

Menurut Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, penganjuran program tersebut akan dapat membantu warga kampus untuk memahami keperluan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati, aman, damai dan terus gemilang.

Untuk tujuan tersebut, beberapa program telah diatur hingga September 2022 yang bertujuan untuk menyemarakkan bulan kebangsaan. Antara program yang telah diatur termasuklah HEA Open Ride, deklamasi sajak, Jelajah Kemerdekaan, Komander Kesatria Endurance Challenge Siri 10, Hari Refleksi Kemerdekaan Malaysia, serta Pertandingan Sudut Kemerdekaan. Lebih membanggakan, UiTM akan turut mengadakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah yang akan diangkat sebagai acara kemuncak pada 15 September 2022.

Sebagai sebuah organisasi, warga kampus diibaratkan sebagai sebuah keluarga. Kepelbagaian latar belakang menjadi asas kekuatan UiTM Cawangan Perlis. Maka itu, kerjasama serta hubungan positif sesama warga kampus pada semua peringkat juga diyakini akan dapat menyuntik semangat untuk terus maju ke hadapan selaras dengan pengertian semangat Keluarga Malaysia Teguh Bersama.

YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, berucap merasmikan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang.

Tidak ketinggalan, dalam ucapan perasmiannya, YBhg. Prof. Madya Ts. Dr. Shukor juga menyeru warga kampus untuk bersama-sama menyertai program yang telah diatur bagi menghidupkan roh dan jiwa merdeka serta merapatkan jalinan keluarga UiTM Cawangan Perlis.

Antara kontinjen perbarisan yang menyertai Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di UiTM Cawangan Perlis.

Dalam majlis yang sama, turut berlangsung penyerahan bendera Jalur Gemilang kepada 10 kontinjen perbarisan dari setiap bahagian dan unit di UiTM Cawangan Perlis. Penyerahan Jalur Gemilang tersebut merupakan simbolik bagi menyemarakkan semangat jati diri bangsa, khususnya dalam kalangan warga kampus. Kemeriahan program tersebut diakhiri dengan nyanyian lagu Jalur Gemilang.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Content is protected !!