13 Ogos 2022, 18:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Program “Showcase” Transformasi Pendidikan yang berlangsung di Pusat Beli-belah Alamanda, Putrajaya pada 12 hingga 14 Ogos 2022 telah menampilkan Menteri Kanan Pendidikan, Yang Berhormat Datuk Dr. Radzi Jidin bagi menyampaikan dasar-dasar terkini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

YB Menteri Kanan Pendidikan mengambil kesempatan ini untuk menjelaskan beberapa dasar utama kementerian, terutamanya yang berkaitan dengan pemansuhan peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) yang telah diumumkan baru-baru ini.

Ujar beliau, pendekatan baharu yang diperkenalkan KPM membolehkan Malaysia mewujudkan satu sistem pendidikan yang dapat melahirkan murid yang mampu bersaing di peringkat dunia. Beliau turut menjelaskan bahawa sebarang keputusan yang dibuat dalam konteks membentuk dasar baharu di peringkat kementerian diteliti secara mendalam dan dikaji satu persatu.

Beliau mengulas lanjut tentang Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) yang telah diperkenalkan pada tahun 2020 bagi memberikan peluang kepada ibu bapa yang berminat untuk mendaftarkan anak-anak ke sekolah asrama setelah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dimansuhkan. Pelbagai pendekatan akan diambil bagi menetapkan kemasukan murid di tingkatan empat setelah pengumuman pemansuhan peperiksaan PT3 dibuat.

Keputusan ini dibuat selaras dengan matlamat untuk mengukuhkan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang telah berlangsung lebih 10 tahun.

YB Menteri Kanan Pendidikan semasa menyampaikan ucapan.

Selama ini masyarakat terlalu memberikan tumpuan kepada peperiksaan, namun begitu kemenjadian murid keseluruhannya tidak menjadi tumpuan utama.”

Jika tumpuan kita kepada peperiksaan, maka Pentaksiran Bilik Darjah itu adalah bukan menjadi keutamaan yang paling penting.

Tambah beliau lagi, pelaporan untuk setiap mata pelajaran juga ditambah kepada tiga pelaporan, iaitu pentaksiran berterusan, pelaporan berdasarkan ujian akhir sesi akademik dan laporan usaha murid. Selain itu, dalam mengurangkan beban guru, pihak KPM mengambil inisiatif untuk mewujudkan bank soalan bagi memudahkan guru menjana soalan untuk Ujian Akhir Sesi Akademik daripada sistem tersebut.

Beliau turut menyeru ibu bapa, guru-guru dan masyarakat agar memberikan kepercayaan kepada kementerian untuk bergerak bersama-sama bagi menjadikan sistem pendidikan jauh lebih baik.

Apa yang paling penting, ibu bapa dan guru-guru perlu bekerjasama dengan niat untuk membina anak ini dalam sistem persekolahan kita.

Transformasi ini adalah demi kebaikan anak-anak kita yang bakal menjadi pewaris kepada negara kita.

Program “Showcase” Transformasi Pendidikan ini merupakan salah satu aktiviti di bawah program khas KPM bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia pada tahun ini, iaitu program “Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan”. Program ini merupakan usaha kolaboratif semua bahagian di KPM untuk menguar-uakan kepada masyarakat berkaitan dengan projek serta inisiatif transformasi yang dilaksanakan oleh KPM dalam usaha memacu kecemerlangan dunia pendidikan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.