Oleh Abdul Ghani Abu
13 Ogos 2022, 18:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Selepas dua tahun enam bulan tertangguh disebabkan pandemik COVID-19, ilmuwan, teknokrat dan birokrat tersohor negara, Yang Berbahagia (YBhg.) Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memulakan kembali sesi Bicara Buku di kediaman beliau pada pagi ini.

YBhg. Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang bersama-sama YBhg. Profesor Dr. Muhammad Zainiy Uthman, penulis buku Al-Attas’ Psyhchology dan tetamu undangan di kediaman beliau.

Buku Al-Attas’ Psychology karya YBhg. Profesor Dr. Muhammad Zainiy Uthman terbitan Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM) 2022 menjadi pilihan buku pertama yang dibicarakan. Penulis merupakan Profesor di Raja Zarith Sofiah Centre for Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

YBhg. Profesor Dr. Muhammad Zainiy Uthman, penulis buku Al-Attas’ Psyhchology.

Penulis melahirkan rasa kesyukurannya kerana berpeluang menimba ilmu bersama-sama dua orang ilmuwan Islam tersohor zaman moden ini, iaitu Fazlur Rahman semasa menuntut di Universiti Chicago, Amerika Syarikat dan YBhg. Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menjadi penyelia kajian doktor falsafah beliau di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC), Kuala Lumpur.

Buku setebal 177 halaman ini disiapkan oleh penulis dalam tempoh dua tahun semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19 yang lalu. Buku ini menggarap dan menterjemahkan pemikiran Tan Sri Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas yang dibahagikan kepada lima bab utama, iaitu “Prologue”, “The Human Soul and The Intellect”, “The Heart and Spiritual Cognition”, “Happines” and “Epilogue”.

Penulis turut membicarakan beberapa gagasan Profesor Naquib al-Attas. Antaranya termasuklah tentang “Qalbu” yang menjadi lebih penting berbanding dengan intelek dan harus menjadi asas kepada proses pendidikan; “kesempurnaan intelek”; dan empat perbezaan pengetahuan, iaitu wahyu, hikmah, ilham dan ilmu.

Dalam buku ini juga penulis mengetengahkan idea tentang roh atau jiwa (halaman 30) dan idea kapasiti pintar (halaman 34) melalui rajah yang dinukilkan oleh Profesor Naquib al-Attas. Penulis turut berhujah tentang kekeliruan dan kesilapan dalam pengetahuan serta kehilangan adab dalam menuntut ilmu yang berlaku pada masa ini.

Halaman 30 dan halaman 34 kandungan buku Al-Attas’ Psyhchology.

Sesi bicara buku ini amat relevan dan signifikan kerana berupaya meniupkan rohani dan membangunkan jiwa pembaca serta memberikan sudut pandang yang kukuh dari kaca mata ilmuwan Islam dalam mendepani cabaran dunia moden khususnya yang berkaitan tentang kekeliruan dan ketidaksahihan epistemologi. Bertepatan dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat, menurut Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, sesi ini akan bersambung lagi. Sebagai rekod, buku terbaharu tulisan Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ialah Kumpulan Puisi Dari Penjuru Sofa. Buku ini telah menambahkan lagi koleksi kepustakaan Alam Melayu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.