14 Ogos 2022, 21:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – “Hari ini, semakin ramai wanita diberi kepercayaan untuk mengemudi tampuk kepimpinan, baik dalam sektor kepolisan mahupun dalam bidang lain seperti korporat dan pendidikan,” titah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil pada hari ini dalam Webinar Women in Search of Excellence bertajuk “Lady Boss in the Police Force”.

Menurut baginda, “Persepsi Wanita sebagai Pemimpin”, iaitu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, kaum wanita seharusnya difahami sebagai seseorang yang mempunyai keyakinan, kecenderungan, minat dan perspektif yang pelbagai. Mengungkapkan persepsi negatif sebelum menyaksikan persembahan wanita akan melesapkan bakat serta keupayaan seseorang wanita tersebut akan menjejaskan sistem pentadbiran organisasi, baik dari segi keselamatan negara, ketenteraman awam serta tugasan kepolisan.

Keselamatan negara, ketenteraman awam, pencegahan jenayah, serta pembentukan modal insan dalam Pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) merupakan bebanan tugas yang sangat mencabar serta memerlukan tahap pemikiran yang tinggi, ketahanan fizikal serta mental yang kuat.

“Selain itu, dorongan dan sokongan dari orang rapat dan keluarga juga penting untuk menjaga kestabilan emosi dan mental mereka,” titah baginda selepas berkenan menandatangani watikah penghargaan kepada Ketua Polis Perlis, DCP Dato’ Surina Saad, ahli panel dan urus setia atas pelibatan dan komitmen dalam menjayakan program Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-11, anjuran PDRM dengan kerjasama YTF secara dalam talian.

Melalui titah baginda menyatakan bahawa antara rintangan yang harus dilalui adalah norma wanita dalam sektor kepolisan sebagai seorang ibu yang lembut dalam mendidik dan membimbing anak-anak, terselit ciri-ciri kepimpinan dan ketegasan seorang ibu. Hal ini secara tidak langsung membuka mata para wanita dengan memberikan pendedahan melalui maklumat yang padat dan bertepatan tentang realiti kini.

Anggapan perspektif lapuk bahawa bidang kepolisan tidak sesuai kepada wanita tidak lagi relevan. Rata-rata wanita masa ini juga berpelajaran tinggi, mempunyai pekerjaan dan berkedudukan yang baik, bersifat kepimpinan dan berkaliber dalam tugasan. Wanita sebegini harus diberi merit dan penghargaan berdasarkan pencapaian kendiri mereka dan bukanlah berdasarkan kepada aspek jantina sahaja.

Selaku Pengerusi YTF, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani atas penganjuran program ini yang disempurnakan titah perasmiannya oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Raja Muda Perlis dan Raja Muda Puan Perlis bersama-sama DCP Dato’ Surina Saad serta ahli panel Webinar Women in Search of Excellence.

Dalam perkembangan yang sama, webinar ini turut melibatkan ahli panel yang berkongsi ilmu, pengalaman serta pandangan. Mereka ialah terdiri daripada DCP Dato’ Nerita Yaacob yang membicarakan tentang Kerjaya Wanita dan Modal Insan dalam PDRM, DCP Dato’ Sasikala Devi A/P Subramaniam (Macau Scam, Sumbangan Wanita dalam Pencegahan dan Siasatan Jenayah Komersil), DCP Normah Ishak (Pelibatan Pegawai Wanita dalam Isu Pencegahan Aktiviti Pengganas, ACP Siti Kamsiah Hassan (Jenayah Seksual dan Peranan Pegawai Wanita), manakala Inspektor Zaitul Najihah Abd Patah selaku pengacara majlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.