15 Ogos 2022, 18:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan melalui Tabung Ibnu Sabil kepada pihak Kedutaan Switzerland untuk kegunaan rakyat Malaysia yang dalam kesusahan di negara tersebut, hari ini.

Switzerland merupakan antara pelabur terbesar di Malaysia, malah menjadi pelabur ketiga terbesar di Eropah pada tahun 2021. Jumlah pelaburan masuk yang telah diluluskan dari Switzerland ke Malaysia berakhir tahun 2021 adalah bernilai RM17.2 bilion yang merangkumi sebanyak 231 projek.

Hal ini dikatakan demikian telah membuka sebanyak 24 ribu peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang. Antara syarikat multinasional dari Switzerland yang bertapak di Malaysia, termasuklah Nestle, VAT Group, Haco, ABB Group, Escatec Group, RUAG International Holding AG, Roche Holding AG dan banyak lagi.

Menurut kajian, perdagangan Malaysia dan Switzerland pada tahun 2021 telah mencecah A.S.$2.34 bilion, iaitu meningkat sebanyak 11.3 peratus berbanding dengan tahun 2020. Daripada jumlah ini, eksport Malaysia adalah sebanyak A.S.$471.4 juta, iaitu turun sebanyak 26.4 peratus berikutan impak pandemik COVID-19 yang menjejaskan kapasiti penggiat industri serta kekurangan bahan mentah disebabkan oleh isu geopolitikal.

Syarikat di Malaysia pula telah mengimport daripada Switzerland dengan nilai import sebanyak A.S.$1.86 bilion pada tahun 2021, peningkatan sebanyak 27.9 peratus. Walaupun, Malaysia mengimport lebih banyak daripada mengeksport, momentum aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara dapat dikekalkan.

Berikut adalah menurut hebahan media MAIPs yang dipersembahkan maklumkan oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Bern, Switzerland, Zuliera Zariz Azman Aziz kepada Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyambut keberangkatan tiba baginda di Lapangan Terbang Antarabangsa Kloten, Zurich, Switzerland.

Menurut Zuliera, “Kedudukan Switzerland yang terletak di tengah-tengah benua Eropah dengan keadaan ekonomi dan politik yang amat stabil menjadikannya sebuah negara yang amat strategik untuk urusan perdagangan, ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi. Industri pekerjaannya yang amat berdaya saing telah menarik lebih daripada 1400 rakyat Malaysia untuk tinggal bekerja di sini.

“Pada masa yang sama, ramai tenaga pakar dari negara Switzerland juga sedang dan akan bekerja secara sepenuh atau separuh masa di Malaysia dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam bidang farmasi, kejuruteraan dan kewangan”.

Tambah beliau, produk perkilangan kekal sebagai produk perdagangan utama antara Malaysia dengan Switzerland pada tahun 2021. Antara produk utama ialah produk perkilangan seperti produk elektrik dan elektronik, produk petroleum, bahan kimia dan produk kimia serta produk berasaskan kelapa sawit.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakandanya, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Turut hadir menyambut ialah Konsul Kehormat Malaysia bagi kanton Zurich dan Aargau, Guna Mahalingam.

Tuanku Raja Muda mempunyai jaringan luas di negara tersebut kerana pernah berkhidmat sebagai Pengurus Kawasan Malaysia Airlines bagi Switzerland, Austria dan Eropah Tengah berpejabat di Zurich dari tahun 1998 hingga tahun 2002 sebelum berangkat pulang untuk memegang amanah sebagai Pemangku Raja Perlis ketika Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dilantik sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Malaysia Ke-12.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.