1 September 2022, 20:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hat Yai – Sebanyak 65 peserta termasuk Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai program berbasikal ‘Kayuhan Cakna Merdeka’ sempena Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-65.

Kayuhan sejauh 20 kilometer diadakan sekitar Klonghae, Hat Yai, Thailand merupakan kali ke lima program yang sama dianjurkan. Sebelum ini, program sebegini telah dilaksanakan di Satun (tahun 2015), Pak Bara (tahun 2017), Songkhla (tahun 2018) dan Chenak (tahun 2019). Pada tahun lalu, program ini dijayakan di Pulau Pinang.

Yang menariknya, jumlah peserta sebagai simbolik 65 tahun kemerdekaan itu turut disertai oleh ketua agensi negeri dan juga persekutuan, serta swasta Perlis.

Menyambut dan mengiringi sama keberangkatan baginda ialah Datuk Bandar Klonghae Sunti Hemmun, Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Mohd. Rizuan Abd. Yazid dan mantan Timbalan Ketua Polis DiRaja Thailand bagi Region 9, Mejar Jeneral Polis (Bersara) Datuk Pichate Pitisathepan.

Laungan keramat “Merdeka” sebanyak tujuh kali diketuai oleh Konsul Jeneral Mohd. Rizuan dan disahut oleh peserta berkumandang dengan penuh bersemangat dalam program yang dianjurkan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ini.

Tuanku Raja Muda sempat mengajak semua supaya berdoa ke hadrat Allah SWT supaya rakyat dan negara kita Malaysia sentiasa berada di bawah perlindungan-Nya dan diberi taufik serta hidayah oleh-Nya dalam menjalankan tugas dan kehidupan seharian.

Raja Muda Perlis berkenan melihat hasil kraf tangan oleh pelajar Tessaban 1 Klong Hae Atchariya School.

Dalam program kayuhan itu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra dan peserta turut singgah melawat ke Tessaban 1 Klong Hae Atchariya School. Mereka disambut dengan penuh semangat silaturahim antara dua negara berjiran oleh pengetuanya, Banhan Jitwang, serta 800 pelajarnya dan Rumah Kraf Kampung berupa industri membuat sangkar burung dalam kalangan komuniti setempat di Nongsai dan ditunjukkan demonstrasi membuatnya oleh pengurusnya, Yud Bilkordem.

Dua persinggahan terakhir ialah di pekarangan Pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla bertemu dengan Yang DiPertua serta ahli-ahli Majlis dan juga Pejabat Datuk Bandar sendiri.

Kayuhan dimulakan dan berakhir di kawasan Pasar Terapung Klonghae yang terkenal dalam kalangan pengunjung Malaysia yang berkunjung ke destinasi pelancongan negara tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.