15 September 2022, 15:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Dalam usaha untuk meningkatkan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pelibatan murid dalam kegiatan kokurikulum hakikatnya dapat melahirkan murid yang cergas, sihat dan bersemangat untuk hadir ke sekolah, selain mengukuhkan integrasi nasional.

Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin.

Dalam Majlis Pelancaran Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 5(1) pada pagi tadi, Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin berkata:

Setiap murid di sekolah mempunyai kebolehan, kemampuan dan kekuatan masing-masing.”

“Pelaksanaan proses pencarian bakat sepak takraw ini merupakan satu daripada pendekatan yang dilakukan untuk memastikan anak-anak datang ke sekolah dengan memiliki ‘kekuatan dan keyakinan’ dalam diri mereka.

Oleh sebab itu, KPM memperluaskan skop PdP dengan memberikan peluang dalam pelbagai aspek pembangunan, bukan sahaja bergantung pada akademik, bahkan pembangunan karakter dan sahsiah jati diri.

Menurut beliau, program ini bertujuan untuk mengenal pasti bakat murid berumur bawah 12 tahun yang berpotensi untuk diketengahkan, seterusnya ditempatkan di pusat kecemerlangan sukan KPM, iaitu Pusat Latihan Daerah (PLD), Sekolah Sukan Negeri (SSN) dan Sekolah Sukan Malaysia (SSM).

YB Menteri Kanan Pendidikan menyaksikan gimik perasmian Majlis Pelancaran Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw.
Pencarian bakat murid sepak takraw dilakukan berdasarkan penilaian beberapa ujian.

Mengulas berkaitan dengan proses pencarian bakat murid, YB Datuk Dr. Radzi Jidin mengatakan bahawa penilaian adalah berpandukan pada modul ujian kemahiran sukan sepak takraw yang terdiri daripada ujian antropometrik, ujian kecergasan, ujian kemahiran asas dan ujian kemahiran spesifik.

Tambah beliau, pemurnian dan penambahbaikan modul ini telah melibatkan jurulatih mentor dalam kalangan guru yang juga merupakan bekas pemain sepak takraw. Bakat murid akan dinilai oleh Jurulatih Mentor yang dilantik dengan bantuan Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan (PTPS) Sepak Takraw Negeri, serta guru atau jurulatih sekolah yang terlibat.

Sebelum ini, KPM telah melancarkan program sukan bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi penganjuran program khusus Liga Tunas Malaysia (Malaysia Little League), dan kemudiannya bersama dengan Persatuan Badminton Kuala Lumpur.

Penganjuran ini (Malaysia Little League) merupakan inisiatif baharu rentas kementerian dengan hasrat memupuk minat dan mengaktifkan komuniti akar umbi ke arah melahirkan masyarakat berbudaya sukan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Sukan.

Tamsilnya, melalui penyertaan sukan dan permainan, KPM sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dengan menyediakan ruang dan peluang bagi pelibatan aktif murid dalam membentuk kemenjadian mereka melalui sukan.

“Pendekatan baharu ini dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual” – YB Datuk Dr. Radzi Jidin.

Dalam sidang media tadi, YB Datuk Dr. Radzi Jidin menjelaskan bahawa inisiatif ini adalah selaras dengan Dasar 1Murid 1Sukan (1M1S) dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah melahirkan insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelektual melalui pelaksanaan program Sekolahku SEJAHTERA.

Program Pengukuhan Sukan Sepak Takraw KPM tahun 2022 anjuran Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK) ini akan berlangsung di semua sekolah rendah di seluruh negara mulai 15 September 2022 di Putrajaya dan berakhir pada 13 November 2022 di negeri Perlis.

Program rintis tahun 2022 ini diharapkan akan menjadi platform terhadap pengukuhan program pembangunan sukan sepak takraw KPM pada masa akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.