18 September 2022, 15:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pertandingan Pidato Rukun Negara sebagai Prinsip Perpaduan dan Kestabilan Rakyat selari dengan tema sambutan kemerdekaan pada tahun ini, iaitu “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”.

Bandaraya Melaka – Sejarah terdahulu menjadi panduan untuk Melaka menghargai kepentingan dan menjiwai semangat patriotisme dengan sentiasa menunjukkan taat setia kepada raja dan negara, serta mendukung Keluhuran Perlembagaan seperti yang termaktub dalam Rukun Negara.

Tidak hairanlah, Melaka mendahului semangat untuk memperkasa lima prinsip Rukun Negara menerusi penganjuran Pertandingan Pidato Rukun Negara peringkat kebangsaan bagi merebut Piala Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang berlangsung 15 September lalu.

Pertandingan edisi ketiga ini bertitik tolak atas inisiatif Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam sendiri menganjurkan pertandingan seumpama itu pada peringkat negeri pada tahun 2020, yang dilihat sebagai usaha berterusan memupuk sifat patriotisme, yakni memberikan kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa berbangga dengan mengangkat martabat Rukun Negara.

Pertandingan Pidato Rukun Negara sebagai Prinsip Perpaduan dan Kestabilan Rakyat juga selain menjadi platform untuk memperkukuh dan memperluas semangat patriotik. Selain itu, pertandingan ini memberikan kesedaran kepada masyarakat majmuk, khususnya generasi muda mengenai kepentingan memperjuangkan Rukun Negara sebagai alat penyatuan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Rustam semasa mengulas mengenai acara ini, berkata matlamat untuk memperkukuhkan kedudukan dan martabat Rukun Negara menerusi medium pidato semakin mendapat sambutan apabila menerima pelibatan ke seluruh negara, malah termasuklah pemidato dari Sabah dan Sarawak.

Kata beliau, pertandingan ini mampu membantu mengecilkan jurang perpaduan dalam kalangan rakyat yang dilihat semakin bergolak kerana kepelbagaian ideologi, pandangan dan kurangnya kefahaman dan penghayatan, terhadap prinsip Rukun Negara.

Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam menyampaikan hadiah kepada pemenang johan dalam Pertandingan Pidato Rukun Negara bagi kategori penjawat awam.
Tetamu kehormat yang hadir.

Menerusi kaedah penghayatan prinsip Rukun Negara ini, hal ini dapat membantu mengeratkan hubungan sesama bangsa, yang menjadi pemangkin rakyat Malaysia berbilang kaum hidup bersama dengan aman dan harmoni di bawah satu bumbung dengan jenama Keluarga Malaysia.

“Kita perlu fahami bahawa prinsip Rukun Negara secara mendalam mesti dipatuhi dan dihormati oleh seluruh rakyat Malaysia. Saya percaya ramai anak Malaysia hanya menghafal Rukun Negara namun mereka tidak memahami erti dan kandungannya.

“Malahan, pertandingan ini setidak-tidaknya memberikan ruang kepada mereka untuk memahami maksud sebenar Rukun Negara menerusi teks dan naskhah yang melalui proses kajian dan kemudiannya disampaikan kepada umum,” ujar Tun.

Sementara itu, rata-rata peserta mengakui kebolehan berpidato merupakan antara kemahiran yang memberikan banyak manfaat antaranya melatih individu untuk menjana idea yang bernas serta melahirkan insan pemikir.

Mereka berpendapat berpidato dapat melatih minda untuk mengenali isu, memproses maklumat serta melatih keupayaan dan kemampuan menggunakan bahasa secara fasih, formal dan lancar serta meningkatkan kemahiran insaniah yang lengkap dan holistik.

Kemuncak Pidato Rukun Negara yang menerima penyertaan awal sebanyak 1229  dari seluruh negara diadakan di Dewan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) dengan menyaksikan 30 peserta peringkat akhir berentap menampilkan kepetahan masing-masing dengan cukup bersemangat dan penuh berwibawa.

Penyertaan membabitkan enam kategori pertandingan antaranya sekolah rendah, sekolah menengah, institut pengajian tinggi (IPT), kategori bukan Melayu, penjawat awam dan kategori awam.

Bagi kategori sekolah rendah, johan menjadi milik Sekolah Kebangsaan  (SK) Tun Syed Ahmad Shahabudin, diwakili Hanan Mohd Nazeri dan Auni Batrisya Rushdan yang membawa pulang piala iringan, wang tunai RM1500, sijil serta buku.

Manakala, SMA Al Ehya El Karim yang diwakili Siti Redwana Qasrina Rajes Khan dan Alya Nur Syafini Zulkifli menggunguli kategori Sekolah Menengah menewaskan empat sekolah lain, iaitu Sekolah Menengah Sains  Muzaffar Shah; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas; SMK Dang Anum dan SMK Agama Sharifah Rodziah.

Pasukan duo tersebut juga diumumkan juara bagi Anugerah Persembahan Terbaik dan Juara Keseluruhan, sekali gus membawa pulang piala pusingan, wang tunai RM2000, sijil, buku dan piala pusingan.

Bagi kategori IPT dan kategori bukan Melayu pula menjadi milik penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nornikman Ag Kati dan Chan Chin Ho, masing-masing membawa pulang wang tunai RM3000 sijil, buku serta piala iringan.

Manakala johan bagi kategori institut pengajian awam dan kategori awam milik peserta dari Sabah iaitu Mohd Mujahid Halpi dan Mohd Fikri Mohd Jumat yang membawa pulang hadiah wang tunai, sijil, buku dan piala iringan.

Hadiah disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka YAB Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali, Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka; Datuk Rais Yasin dan Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem.

Pertandingan Pidato Rukun Negara sebagai Prinsip Perpaduan dan Kestabilan Rakyat selari dengan tema sambutan kemerdekaan pada tahun ini, iaitu “Keluarga Malaysia Teguh Bersama,” sebagaimana yang digagaskan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.