21 September 2022, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangkok – Perkembangan pesat dan perancangan yang diatur oleh Thailand melalui Kementerian Pengangkutan untuk bergelar hab logistik di ASEAN melalui projek perdana, Eastern Economic Corridor (EEC) dilihat berpotensi memberi peluang besar untuk dimanfaatkan oleh Malaysia termasuklah Perlis dan juga Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang terletak di utara tanah air.

EEC merupakan projek fasa ketiga pelabuhan laut dalam Laem Chabang dan sambungan lebuh raya menghubungkan lapangan terbang U-Tapoa di Rayong. Malah, bagi melengkapkan perancangan tersebut, Thailand difahamkan akan turut memberi tumpuan kepada perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Thailand dengan Laos dan China serta terus ke beberapa buah negara di Eropah.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang singgah di Bangkok sebelum berangkat pulang ke tanah air selepas berkenan mengetuai delegasi “Jelajah Ilmu Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP ke Laos” baru-baru ini.

Mempersembahkan ucapan selamat berangkat kepada baginda yang diiringi oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr. Zaliman Sauli di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi ialah Duta Besar Malaysia ke Thailand, Dato’ Jojie Samuel dan Penasihat Pertahanan di Kedutaan Besar Malaysia Bangkok, Brigedier Jeneral Samsul Rizal Musa.

Menurut baginda, sebagai negeri jiran, Perlis dan UniMAP wajar mencari peluang bagi menjalinkan pelbagai kerjasama dengan pihak negara Gajah Putih tersebut dalam meningkatkan hab logistik khususnya merangkumi aspek pengangkutan darat.

Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor, UniMAP sebagai universiti awam teknikal yang berteraskan kejuruteraan juga boleh berkongsi kepakarannya mengenai idea penggunaan “Bio-Circular-Green (BCG) Economy Model” dan juga teknologi pintar yang diketengahkan oleh Menteri Pengangkutan Thailand, Saksayam Chidchob pada Persidangan “Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) Transportation Working Group” yang bertemakan “Seamless, Smart, and Sustainable Transport” baru-baru ini bagi memudahkan perdagangan dan sekali gus menambah baik perkhidmatan pelancongan sedia ada.

Selain itu, titah Tuanku Raja Muda lagi, Malaysia dan negeri Perlis terutamanya boleh proaktif dan melihat usaha Thailand ini sebagai platform untuk bersama-sama menyertai dan bergerak seiring dengan negara tersebut dalam meningkatkan taraf perkhidmatan sedia ada dan pada masa yang sama menjalinkan hubungan kerjasama strategik yang mampu memberikan impak yang positif kepada kedua-dua belah pihak kelak.

Tuanku Syed Faizuddin Putra (kanan) menyerahkan sumbangan yang diterima oleh Setiausaha Ketiga Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Nazrul Firzadh Yunus.

Dalam perkembangan lain terdahulu daripada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkenan menyerahkan sumbangan tambahan Tabung Ibnu Sabil MAIPs bernilai THB24,000 (RM3,000) yang diterima oleh Setiausaha Ketiga Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok, Nazrul Firzadh Yunus bagi pihak Pejabat Kedutaan berkenaan. Sumbangan tersebut bertujuan membantu rakyat Malaysia yang berdepan situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas untuk kembali ke tempat asal atau meneruskan perjalanan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.