22 September 2022, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – Kelab Cakna Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan (FBI), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Malaysia Nature Society (MNS) dan Noblebeez Innitiatives telah menganjurkan program kesukarelawanan bagi membersihkan pantai bersempena dengan International Coastal Cleanup Day 2022 yang diadakan pada setiap tahun pada bulan September di seluruh dunia. Program kesukarelawanan pembersihan pantai terbesar di dunia ini merupakan hasil inisiatif sebuah badan NGO antarabangsa, iaitu Ocean Conservancy dan Reef Check Malaysia.

Program yang bermula pada jam 9:00 pagi di Pantai Pulau Belongan, Bachok ini telah disertai oleh lebih 500 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelajar sekolah, guru-guru dan staf Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, UMK. Objektif utama program ini adalah untuk memupuk sikap prihatin dan cakna masyarakat terhadap alam sekitar terutamanya melibatkan soal kebersihan pantai yang akan memberikan kesan terhadap hidupan laut.

Selain daripada mengutip sampah sarap di sepanjang pantai, peserta juga turut diminta untuk memuat naik hasil kutipan sampah sarap ke dalam aplikasi Clean Swell. Data ini kemudiannya akan digunakan bersama dengan data-data lain dari seluruh dunia untuk dianalisis bagi tujuan penambahbaikan polisi kebersihan pantai secara global bagi menyokong agenda Sustainable Development Goals 2030 oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Sejak bermulanya acara ini 30 tahun lalu, lebih daripada 17 juta orang sukarelawan telah mengutip sebanyak 158 juta kilogram sampah sarap di seluruh dunia.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.