25 September 2022, 18:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
SSN Perlis muncul sebagai johan Pertandingan Bola Sepak Piala Raja Perlis Tahun 2022.

Kangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan perlawanan bawah 17 tahun di Stadium Tuanku Syed Putra Kangar, semalam.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, yakni dikenali sebagai Sekolah Sukan Negeri (SSN Perlis) muncul sebagai johan Pertandingan Bola Sepak Piala Raja Perlis Tahun 2022 selepas menumpaskan SMK Mutiara Impian (SSN Pulau Pinang) dengan tiga gol berbalas satu.

Manakala bagi kategori bawah 14 tahun, SMK Mutiara Impian berjaya menundukkan SMK Syed Hassan dengan keputusan 1–0 dan juga kategori alumni, SMK Syed Hassan mengalahkan Penang Free School dengan 3–1.

Penang Free School merupakan sekolah yang cukup dekat di hati usrah kerabat diraja negeri Perlis kerana dua raja pemerintah Jamalullail, iaitu Almarhum Tuanku Syed Putra dan Tuanku Syed Sirajuddin berserta pewaris takhta, Tuanku Syed Faizuddin Putra merupakan alumni sekolah Inggeris tertua di negara ini tersebut.

Majlis penyampaian piala disempurnakan oleh Raja Muda Perlis.

Dalam majlis tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah menyempurnakan penyampaian hadiah bagi piala pusingan, piala iringan serta medal-medal.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Penaung Pertandingan, Affendi Rajni Khan, Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Hassan (SSN Perlis) Ros Aza Che Ariffin dan wakil daripada Alumni The Old Frees Association Penang Free School, Andrew Lim.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah anakanda bongsu, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Program yang julung kalinya dianjurkan dan pada kali ini ditaja oleh Figos Sdn. Bhd, Yakult Malaysia dan Milo Nestle itu dicadangkan selepas ini akan menjadi acara tahunan secara timbal balik antara SSN Perlis dengan Penang Free School bagi memberikan peluang kepada murid kedua-dua buah sekolah untuk membuat latihan dan persediaan yang berterusan dalam sukan dan akademik.

Maka demikian, baginda mengharapkan agar jalinan persahabatan dan ikatan silaturahim yang erat antara guru dengan murid, di samping bertukar-tukar idea dan kemahiran untuk meningkatkan prestasi murid dalam bidang sukan serta akademik dan seterusnya menyediakan pemain untuk menghadapi Liga PLD dan Liga KPM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.