2 Oktober 2022, 12:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nilai – Bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-55 Badan Pencegah Rasuah atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pada 1 Oktober 2022, satu sejarah turut tercipta apabila pasukan bola sepak MySPRM-ACeIO buat julung kalinya beraksi di Piala Emas Raja-Raja (PERR).

Kejohanan bola sepak peringkat kebangsaan edisi ke-100 ini menampilkan 12 pasukan negeri dan empat pasukan undangan, termasuklah MySPRM-ACeIO.

Ketua pasukan MySPRM-ACeIO, Mohd Farid Ramli (jersi berwarna biru) bersama-sama pengadil perlawanan dan pasukan lawannya.

Pasukan MySPRM-ACeIO diwakili oleh pegawai dan kakitangan SPRM, serta rakan integriti (Integrity Champion) kepada Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia. Pasukan yang dibimbing oleh legenda bola sepak kebangsaan Khalid Shahdan pada penampilan sulong ini telah diundi bersama dengan kumpulan C yang menampilkan gergasi merah kuning Selangor, Juara Piala Agong 2022 Kuala Lumpur dan PDRM.

Pasukan MySPRM-ACeIO beraksi di Piala Emas Raja-Raja (PERR).
Tuan Ahmad Sabri Mohamed, Presiden ACeIO.

Pengurus Pasukan MySPRM-ACeIO, Tuan Ahmad Sabri Mohamed, Pengarah Bahagian Pemantauan dan Penyelarasan SPRM merangkap Presiden ACeIO memaklumkan bahawa penyertaan MySPRM-ACeIO pada PERR bertujuan untuk menyebarluaskan mesej antirasuah ke arah pembudayaan integriti serta pengukuhan nilai antirasuah dalam masyarakat melalui sukan nombor satu negara, iaitu bola sepak.

Penyertaan juga bertujuan memberikan pendedahan kepada pegawai dan kakitangan SPRM serta rakan integriti untuk menimba pengalaman dan mengembangkan bakat bola sepak di peringkat tertinggi, sekali gus mengukuhkan jaringan kerjasama dalam menjayakan agenda pencegahan rasuah Keluarga Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.