4 Oktober 2022, 19:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Syarikat AISB berjaya ditubuhkan atas inisiatif empat orang pensyarah UiTM Cawangan Perlis.

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis buat julung-julung kalinya melakar sejarah dengan penubuhan syarikat pemula pertama, Athanliz Innovations Sdn. Bhd. (AISB) yang berasaskan harumanis, hari ini.

AISB ditubuhkan bagi menghasilkan produk inovasi kecantikan yang berasaskan Harumanis dan Latok dengan membawa jenama Lindifera. Terdapat empat produk yang dihasilkan, iaitu Lindifera Yogurt Beauty Drink, Lindifera Beauty Scrub, Lindifera Beauty Lipbalm, dan Lindifera Beauty Soap.

Kesemua produk yang dikeluarkan ini mempunyai bahan aktif daripada buah Harumanis dan Latok untuk kesihatan umum dan kecantikan. Yang lebih istimewanya, produk yang dihasilkan dengan menggunakan ekstrak Harumanis dan Latok dari ladang Harumanis UiTM Cawangan Perlis sendiri.

Untuk rekod, ladang UiTM Cawangan Perlis merupakan antara pengeluar Harumanis terbesar di negara ini dengan kapasiti tanaman sebanyak 1500 pokok Harumanis sejak mula diperkenalkan semenjak tahun 2011 dengan pengeluaran kira-kira 21 hingga 23 tan bagi setiap musim.

Melalui hasil tanaman ini, beberapa produk hiliran turut dikomersialkan, seperti Kordial Harumanis, Jus Harumanis menerusi syarikat AISB.

YBhg. Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Atas sokongan berterusan pihak pengurusan UiTM, terutamanya YBhg. Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, syarikat ini telah berjaya ditubuhkan atas inisiatif empat orang pensyarah UiTM Cawangan Perlis dari pelbagai bidang kepakaran sebagai Ahli Lembaga Pengarah AISB.

Gabungan ini terdiri daripada Dr. Athifah Najwani Shahidan (Pengarah Urusan), Dr. Ang Lee Sin (Pengarah Operasi), Dr. Siti Nurlia Ali (Pengarah Pengurusan Aset dan Pelaburan), dan Dr. Nur Izzati Khairudin (Pengarah Pentadbiran Am) yang kesemua mereka pada mulanya berkhidmat di Unit Pengurusan Inovasi dan Kepakaran (UPIK), serta dua orang Pengarah Bebas Bukan Eksekutif, iaitu Encik Wan Mohd Yasser Wan Abdoh dan Encik Mohamad Niza Haji Md Nor.

Pada masa yang sama, AISB juga disokong oleh pemain industri, seperti ZEM Holdings Sdn. Bhd. dan Malthai Hub. Selari dengan pelancaran syarikat pemula pertama, satu majlis penandatanganan perjanjian persefahaman antara AISB dengan Qveen Birds Nest Enterprise turut diadakan.

Penubuhan AISB ini dilihat bertepatan dengan aspirasi kerajaan dalam Revolusi Perindustrian 4.0, Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) kesembilan, iaitu Industri, Inovasi dan Infrastruktur, dan menepati 10 Pemacu Sosioekonomi (Perniagaan dan Perkhidmatan Kewangan; Pertanian dan Perhutanan; dan Pendidikan), yakni fungsi kolaborasi Quadruple Helix (Kerajaan-Industri-Universiti-Komuniti) dipenuhi dalam memacu ke arah inisiatif University for Society@Keluarga Malaysia atau UniTY yang diketengahkan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Pengajian Tinggi melalui Amanat Menteri Pengajian Tinggi.

YBhg. Profesor Madya Ts. Dr. Shukor Sanim dalam ucapan beliau menyatakan penghasilan produk inovasi Lindifera dilihat bukan sahaja dapat menjanakan pendapatan bagi syarikat, malah turut membantu dalam penjanaan pendapatan bagi UiTM Cawangan Perlis dan pengusaha tempatan, selain dapat menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti berkonsep edutourism dan membudayakan keusahawanan di dalam kampus. Beliau turut berharap agar lebih banyak lagi produk hiliran berasaskan harumanis dapat terus dihasilkan oleh penyelidik dari UiTM Cawangan Perlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.