5 Oktober 2022, 08:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Cyberjaya – Sektor swasta digalakkan untuk mengambil bahagian dalam melaksanakan program integriti dan antirasuah sebagai salah satu usaha menyemarakkan budaya integriti dan benci rasuah dalam kalangan masyarakat. Pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu membolehkan syarikat mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967. Berdasarkan peruntukan itu, syarikat atau penyumbang layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan satu amaun bersamaan dengan amaun perbelanjaan yang dibuat.

Ahmad Sabri Mohamed (kiri) dan Datuk Abu Tariq Jamaluddin (kanan).

Perkara ini disahkan oleh Datuk Abu Tariq Jamaluddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN hari ini ketika menerima kunjungan hormat Ahmad Sabri Mohamed, Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah (ACeIO) Malaysia, semalam. Dalam pertemuan tersebut, pihak LHDN bersetuju untuk menjadi Rakan Strategik kepada ACeIO bagi bersama-sama menjayakan agenda pembudayaan integriti dan antirasuah dalam masyarakat.

Pihak LHDN juga menyatakan kesediaan untuk bersama-sama menjayakan program-program anjuran ACeIO seperti Sambutan Hari Integriti Nasional, Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) dan Liga Integriti (i-League). Sehubungan dengan itu, pihak LHDN menyeru semua pihak khususnya organisasi dan syarikat swasta untuk terus menyumbang dalam menjayakan program integriti dan antirasuah termasuklah program anjuran ACeIO yang termasuk dalam tawaran insentif pengecualian cukai.

Insentif pengecualian cukai ini secara dasarnya telah diberi oleh Menteri Kewangan melalui surat Kementerian Kewangan (MoF) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertarikh 5 April 2021. Insentif ini diharapkan akan dapat menggalakkan lebih banyak syarikat atau organisasi korporat bekerjasama dalam melaksanakan program pengukuhan integriti dan antirasuah serta membantu kerajaan dalam menjayakan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP).

Pada masa yang sama, Presiden ACeIO berterima kasih kepada kerajaan, khususnya SPRM dan LHDN atas inisiatif dan insentif murni ini. Hal ini memberi isyarat jelas kepada semua pihak bahawa jenayah rasuah tidak dikompromikan dan negara memerlukan persekitaran perniagaan yang bersih daripada rasuah. Sehubungan dengan itu, usaha pengukuhan integriti dan antirasuah dalam masyarakat tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan khususnya SPRM semata-mata. Perkara ini perlu melibatkan semua pihak khususnya mereka yang menerima limpahan rezeki daripada sumber ekonomi negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.