5 Oktober 2022, 21:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gombak – Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin telah hadir menyempurnakan “Inisiatif Menangani Beg Berat: Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama” dalam sebuah majlis yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Kuala Lumpur.

Menteri Kanan Pendidikan, YB Datuk Dr. Radzi Jidin ketika berucap di Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia.

Dalam ucapan YB Menteri Kanan Pendidikan, beliau menjelaskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sangat komited dalam usaha menangani isu beg berat dalam kalangan murid sekolah. Lokar sekolah merupakan kemudahan yang bakal memberikan manfaat kepada 249 646 murid sekolah rendah dan merupakan satu daripada tujuh inisiatif KPM dalam menangani isu beg berat. Memetik ucapan beliau, “inisiatif pembekalan lokar ke sekolah dua sesi telah diumumkan pada 6 Mac 2022 untuk menangani isu beg berat dalam kalangan murid dan pada hari ini, penyerahan lokar fasa pertama berjaya dilancarkan”.

YB Datuk Dr. Radzi Jidin bersama-sama Ahli Parlimen Gombak, YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan penggunaan lokar bagi fasa pertama.

Lokar ini bakal dibekalkan kepada 626 buah sekolah dua sesi bagi fasa pertama dengan kerja pemasangan yang dijangka siap sepenuhnya pada akhir bulan ini. Menurut beliau lagi, bagi fasa pertama lokar berkenaan akan dibekalkan kepada murid tahap satu,iaitu Tahun Satu dan Tahun Dua dengan fasa kedua yang dijadualkan pada tahun depan.

Majlis pelancaran ini disempurnakan dengan sesi lawatan YB Menteri Kanan Pendidikan dengan diiringi oleh tetamu kehormat ke lokasi lokar yang ditempatkan di sekolah tersebut.

Turut hadir, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.

Murid sekolah, Aisyah Hanania Yazid memasukkan buku teks ke dalam lokar yang disaksikan oleh YB Datuk Dr. Radzi Jidin dan YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.