2 November 2022, 08:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sesi bergambar delegasi Korean Institute of Sports Science (KISS) bersama-sama pensyarah dan pelajar FSR UiTM Cawangan Perlis.

Arau – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis telah menerima kunjungan rasmi daripada delegasi Korean Institute of Sports Science (KISS), Dr. Hyunjoo Cho dan Cik Kim Yoola melalui kerjasama antara FSR UiTM, Institut Sukan Negara (ISN) dan Korea Sports Promotion Foundations (KSPO) pada 30 Oktober 2022 yang lalu.

Kunjungan rasmi tersebut diadakan untuk membincangkan tentnag peluang kerjasama dalam bidang sukan dan kesihatan sebagai satu daripada usaha membentuk kolobrasi antarbangsa melalui Official Development Assistance (ODA).

Sesi perbincangan ini diketuai oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis, Profesor Ts. Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak; Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, dan Alumni, Ts. Gs. Dr. Ernieza Suhana Mokhtar; Ketua Pusat Pengajian FSR, Dr. Harris Kamal Kamaruddin, serta barisan pensyarah FSR UiTM Cawangan Perlis.

Sesi pengenalan dan taklimat oleh pihak universiti.

Selain memberikan penerangan dan pengenalan tentang kampus, pihak UiTM juga mengambil peluang yang ada untuk mempromosikan dua persidangan yang bakal dianjurkan pada tahun 2023, iaitu The 6th International Innovation, Design and Articulation (i-IDeA) dan International Sports Science Conference (ISSC).

Program diteruskan dengan sesi perkongsian tentang fungsi dan peranan KISS terutamanya dalam perkembangan sukan dan kesihatan di Korea Selatan yang disampaikan oleh Dr. Hyunjoo Cho. Sesi taklimat yang dihadiri oleh pensyarah dan 120 orang pelajar FSR UiTM Cawangan Perlis ini merupakan platform untuk memberikan pendedahan terhadap kepentingan dan keperluan sukan untuk memenuhi objektif Sustainable Development Goals (SGD).

Dalam pada masa yang sama, pihak KISS juga dibawa melawat ke semua makmal FSR seperti Makmal Kecergasan, Makmal Kesihatan, Makmal Rekreasi dan Makmal Fisiologi. Lawatan tapak tersebut adalah untuk memberikan gambaran yang jelas kepada pihak KISS dan KSPO tentang makmal yang sedia ada yang boleh digunakan untuk pembangunan projek dan kajian yang telah dicadangkan. Sesi lawatan ini juga menunjukkan kesediaan dan komitmen pihak universiti untuk pelaksanaan projek kolaborasi ini. Diharapkan agar kunjungan ini akan memberikan impak dan kesan yang baik kepada kedua-dua institusi ini untuk kerjasama yang akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.