Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Kangsar – Program Majalah Dalam Kelas (MDK) kembali lagi diadakan dengan kerjasama Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Asam dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sebanyak 78 orang murid yang terdiri daripada murid tahun tiga hingga tahun enam telah menyertai program MDK pada hari ini yang bermula seawal pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 12.30 tengah hari.
Program dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Guru Besar SK Padang Asam, Puan Nor Afida Shuib yang mengalu-alukan kedatangan sidang editor Bahagian Majalah DBP, Puan Fansurina Ramli dan Puan Syaza Wardina Abd Khalik. Program ini juga turut diserikan dengan persembahan syair dan cerita rakyat oleh murid SK Padang Asam.
Program MDK ini diadakan bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada murid tentang penggunaan majalah sebagai medium untuk membantu meningkatkan prestasi bahasa dalam kalangan murid sekolah. Selain itu, Program MDK juga menjadi pendekatan secara didik hibur bagi murid untuk memperoleh pelbagai maklumat tambahan di samping menjadi bahan sokongan dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Antara aktiviti yang dijalankan semasa program MDK termasuklah sesi taklimat tentang majalah Dewan Pelajar, Kuiz Menara Belon dan beberapa aktiviti bahasa seperti membina ayat daripada peribahasa dan menulis cerita pendek berdasarkan petikan yang diberikan.
Selaku Guru Besar, Puan Nor Afida menyatakan harapan untuk mengadakan program seumpama ini lagi dan meneruskan kerjasama bersama-sama pihak DBP pada masa akan datang.
Ini satu pengalaman yang baharu bagi murid. Mereka amat teruja dengan aktiviti yang telah dijalankan. Semoga apa-apa yang dipelajari dan input yang mereka dapat pada hari ini dapat memberikan pendedahan kepada mereka tentang luasnya bahasa dalam kehidupan.
Program diakhiri dengan Sesi Penyampaian Hadiah kepada tiga kumpulan terbaik. Pihak DBP dan pihak sekolah sempat bertukar-tukar cenderahati sebagai tanda penghargaan.
*Untuk catatan, SK Padang Asam merupakan satu daripada sekolah di Malaysia yang dikategorikan sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM), iaitu sekolah yang mempunyai jumlah murid kurang daripada 150 orang.