4 November 2022, 23:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perlis bagi tahun 2022 disambut meriah bersama-sama warga kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis semalam. Sambutan Hari Alam Sekitar itu diadakan serentak bersama Karnival Geomatik Universiti Teknologi Mara Cawangan Perlis selama dua hari bermula 2 November 2022.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dalam ucapan alu-aluannya berkata, UiTM Cawangan Perlis menyambut baik usaha untuk memupuk kesedaran bagi menghijaukan dan memulihara bumi. Hal ini demikian kerana usaha ini seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang menekankan usaha pemuliharaan alam sekitar untuk kehidupan yang lebih lestari.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Prof Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi.

Beliau juga berharap agar program sebegini akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi memupuk kesedaran orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan menangani kesan perubahan iklim melalui penanaman pokok.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Pusat Pengajian Sains Ukur dan Geomatik, UiTM Cawangan Perlis kerana dapat menjalinkan kerjasama erat bersama-sama Jabatan Alam Sekitar Cawangan Perlis dalam menjayakan Hari Alam Sekitar Negara 2022 Peringkat Negeri Perlis dan Karnival Geomatik UiTM Cawangan Perlis pada hari ini” ujarnya pada akhir ucapan.

Majlis perasmian dan penutupan bagi program sambutan ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. Semasa majlis tersebut beliau turut meluangkan masa menyempurnakan simbolik penanaman pokok jenis ‘Merawan Siput Jantan’.

YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis semasa menyempurnakan simbolik penanaman pokok.

Bersempena dengan Sambutan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perlis bagi tahun 2022 ini, pelbagai program telah dijalankan. Antaranya termasuklah  aktiviti senamrobik, pameran, penanaman pokok, pertandingan e-sukan, pertandingan mewarna dan juga pengumpulan barang-barang kitar semula (e-Waste). Manakala aktiviti seperti lawatan ke kampus, kelas goematik, NeoRun, program ceramah dan derma darah juga diadakan bersempena dengan Karnival Geomatik peringkat UiTM Cawangan Perlis.

Pelbagai aktiviti yang diadakan bersempena dengan Hari Alam Sekitar Negara Peringkat Negeri Perlis dan Karnival Geomatik peringkat UiTM Cawangan Perlis.
Aktiviti mewarna yang disertai oleh kanak-kanak.
YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan YBrs. Prof Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis bergambar bersama-sama kanak-kanak yang memenangi aktiviti mewarna.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis, Puan Norasmah Ab. Rani; Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Encik. Awang Shaffie Awang Ahmadni; barisan pengurusan kanan Universiti Teknologi MARA Cawangan Perlis, ketua-ketua jabatan dan wakil agensi serta barisan pensyarah dan juga pelajar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.