11 November 2022, 22:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Menulis Esei Perkhidmatan Awam Sarawak telah dilaksanakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada hari ini. Pertandingan Menulis Esei ini merupakan anjuran Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Sarawak dengan kerjasama DBP Cawangan Sarawak bersempena dengan Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Negeri Sarawak.

Penganjuran pertandingan ini merupakan kerjasama kali kedua antara pihak MAMPU Sarawak dengan DBP Cawangan Sarawak dalam menyemarakkan aktiviti kebahasaan dan inovasi di negeri Sarawak. Objektif penganjuran pertandingan ini adalah untuk meluaskan pengetahuan, penggunaan, dan penguasaan aspek inovasi menerusi penulisan, selain bermatlamat memantapkan kemahiran menulis dan memupuk semangat pembudayaan inovasi dalam amalan kerja harian. Di samping itu, penganjuran pertandingan ini juga diyakini berupaya menjana idea kreatif menerusi penulisan.

Jawatankuasa Pertandingan Menulis Esei Perkhidmatan Awam Sarawak.

Pada tahun ini, urus setia telah menerima 37 penyertaan daripada Penjawat Awam Persekutuan dan juga Penjawat Awam Negeri yang berkhidmat di negeri Sarawak. Tema pertandingan pada tahun ini ialah “Pendigitalan dalam Pemodenan Penyampaian Perkhidmatan”.

Antologi Esei Revolusi Pemodenan Penyampaian Perkhidmatan Awam.

Dalam pertemuan ini juga, Encik Bruce Kini Jesse, Timbalan Pengarah MAMPU Sarawak menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada DBP Cawangan Sarawak atas kerjasama yang diberikan sehingga buku Antologi Esei Revolusi Pemodenan Penyampaian Perkhidmatan Awam telah berjaya diterbitkan pada tahun ini. Buku antologi ini merupakan hasil Pertandingan Menulis Esei Perkhidmatan Awam Sarawak yang dianjurkan pada tahun 2021.

Beliau juga berharap agar kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Besar harapan beliau agar pertandingan menulis esei ini dapat menjadi sebuah medium kepada warga perkhidmatan awam untuk mencungkil potensi dan mengetengahkan bakat penulisan kreatif di samping dapat menjiwai budaya pemodenan melalui idea penulisan yang kritis, logik serta persuasif dalam mendukung penyampaian yang cemerlang dan gemilang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.