Oleh Ruzaini Ijon
14 November 2022, 21:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajang – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) mengambil inisiatif menyertai Program Sidang Kemuncak Kelab Penyayang 2022 yang telah berlangsung dari 11 hingga 13 November 2022 bertempat di RHR Hotel Kajang, Selangor.

Penganjuran acara tahunan pada kali ini melibatkan sebanyak 10 orang sukarelawan Kelab Penyayang yang diketuai oleh Saudari Nurin Suhana Hushairy dan Encik Ruzaini Ijon selaku penasihat kelab.

Program Sidang Kemuncak Kelab Penyayang 2022 dianjurkan oleh Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) ini bertujuan untuk memantapkan pengurusan dan perancangan aktiviti Kelab Penyayang seluruh negara. Program tiga hari itu antaranya melibatkan perkongsian daripada individu pelbagai latar belakang yang melibatkan sudut akademik dan praktis.

Perkongsian daripada Profesor Madya Dr. Norruzeyati Che Mohd Nasir (UUM) dan Profesor Dr. Sivamurugan Pandian (USM) menumpukan kepada perancangan dan etika dalam memberikan khidmat kepada komuniti. Perkongsian oleh Encik Raymund Jagan yang merupakan seorang kaunselor dan YBhg Dato’ Dr. Ahmad Faizal Mohd Perdaus selaku presiden MERCY Malaysia mendedahkan semua peserta program kepada realiti sukarelawan dalam pembangunan negara.

Program ini menampilkan pelancaran Pertandingan Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Malaysia 2023 yang disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato’ Dr. Husaini Omar, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT). Pertandingan ini merupakan cetusan ilham PENYAYANG yang bertujuan untuk menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan ahli Kelab Penyayang dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Selain ucaptama oleh KPPT, program turut diserikan dengan kehadiran YBhg. Puan Nori Abdullah selaku pengerusi PENYAYANG, manakala ucapan penutupan program disempurnakan oleh YBhg Dato’ Leela Mohd Ali selaku Ketua Eksekutif PENYAYANG.

Penyertaan sukarelawan Kelab Penyayang yang masih dalam peringkat awal penubuhan ini membuktikan komitmen UMK ke arah mencapai hasrat PENYAYANG memupuk kesedaran terhadap aktiviti kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial korporat dalam kalangan pelajar IPT. Setakat ini, terdapat 26 Kelab Penyayang ditubuhkan di universiti seluruh negara. Setiap Kelab Penyayang disyaratkan untuk mengadakan kerjasama dengan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Oleh hal yang demikian Kelab Penyayang UMK telah berjaya mengadakan kerjasama dengan Kelantan Autism Care Centre (KACC) yang disambut baik oleh pengarahnya Encik Shafrry Mohd Sarif.

Kehadiran sukarelawan melalui kerjasama ini dijangka akan membantu melicinkan operasi NGO tersebut. Keanggotaan Kelab Penyayang di UMK melibatkan pelajar yang merentas fakulti. Penasihat kelab pelajar ini daripada Fakulti Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insan berdasarkan bidang kepakaran yang diperlukan, iaitu psikologi, kerja sosial dan pembangunan komuniti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.