Oleh Rosmani Omar
19 November 2022, 13:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 di Kawasan Parlimen Batu (P.115 Batu) pada pagi ini berjalan dengan lancar. Berdasarkan tinjauan yang dibuat di beberapa lokasi di Parlimen Batu, pengundi di kawasan ini beratur untuk mengundi pada awal pagi bagi memastikan proses pengundian dapat diselesaikan dengan segera dan mengelakkan pengundian dibuat pada saat-saat akhir.

Masyarakat di kawasan Parlimen Batu keluar mengundi sebagai tanda tanggungjawab mereka kepada negara.
Warga emas antara golongan yang hadir menunaikan tanggungjawab mereka semasa mengundi di Parlimen Batu.

Parlimen Batu merupakan antara parlimen yang mempertaruhkan calon yang paling banyak, iaitu sebanyak 10 orang dengan calon dan kerusi masing-masing seperti yang berikut:

  • Calon Barisan Nasional: A. Kohilan Pillay
  • Calon Perikatan Nasional: Ustaz Azhar Yahya
  • Calon Parti Warisan Sabah: Nathan Batu
  • Calon Pakatan Harapan: Prabakaran Parameswaran
  • Calon Parti Rakyat Malaysia: Zulkifli Fattah
  • Calon Parti Pejuang Tanahair: Wan Azliana
  • Calon Bebas: Tian Chua
  • Calon Bebas: Too Gao Lan
  • Calon Bebas: Siti Kasim
  • Calon Bebas: Nur Fathiah Syazwana @ Cleo

Biarpun kawasan Parlimen Batu mempertaruhkan banyak calon, proses pengundian di kawasan ini berjalan dengan aman dan lancar. Pengundi yang ingin dikenali sebagai Habsah, 65 tahun menyatakan bahawa beliau antara pengundi yang terawal hadir ke pusat mengundi dengan ditemani oleh suami daripada golongan orang kurang upaya yang turut sama mengundi. Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia dan petugas yang bertugas seperti Polis Diraja Malaysia memberikan khidmat terbaik mereka bagi memastikan proses pengundian dapat dijalankan dalam suasana teratur dan terkawal.

Polis Diraja Malaysia antara pasukan petugas yang melaksanakan tanggungjawab mereka dalam memastikan kawasan pengundian berjalan dengan lancar.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, pemilih yang berdaftar yang mengambil bahagian dalam PRU P.115 pada kali ini adalah sebanyak 113 863 orang.

Pengundi muda antara pengundi yang hadir dan menunjukkan semangat mereka untuk mengundi. Menurut pengundi yang ingin dikenali sebagai Ahmad, 19 tahun yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Perak Sentul, beliau berasa teruja kerana golongan belia antara individu yang diberikan peluang mengundi pada kali ini kerana pada pandangan beliau melalui proses pengundian, golongan muda juga diberikan hak memilih dan mengutarakan pandangan mereka dalam konteks pemilihan calon yang akan menjadi pemimpin negara.

Mengulas tentang latar belakang calon yang akan dipilih, pengundi muda yang ingin dikenali sebagai Nur, 23 tahun menyatakan:

Saya mencari latar belakang calon kerana saya baru terlibat dalam hal politik. Saya juga mengambil tahu setiap parti dan calon serta membuat kajian tentangnya bagi memastikan saya tidak silap memilih calon dan membuat undian yang betul.

Menurut seorang lagi pengundi yang juga ingin dikenali sebagai Nur, 25 tahun, inisiatif kerajaan yang menetapkan umur 18 tahun layak mengundi merupakan inisiatif dan idea yang bagus kerana generasi pada masa ini sudah terdedah dengan politik sejak dari kecil melalui pembelajaran dan pelbagai medium yang ada.

Suasana hari pengundian di Parlimen Batu.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.