Oleh Rosmani Omar
19 November 2022, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sehingga 3.30 petang, beberapa kawasan di Parlimen Titiwangsa (P.119) kelihatan sesak kerana dibanjiri oleh pengundi yang sabar beratur untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Sekitar tinjauan wartawan di Sekolah Kebangsaan Datok Keramat 1 & 2, warga muda, golongan dewasa dan golongan belia terus memberikan komitmen bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Beberapa lokasi pengundian di kawasan Datok Keramat pada petang tadi.

Di lokasi yang berhampiran, iaitu di Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (Siraj) Al-Alusi, Datok Keramat, masyarakat juga kelihatan beratur panjang bagi menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Walaupun demikian, rata-rata pengundi kelihatan bersemangat untuk mengundi kerana saat tersebut bagi mereka bukan selalu ada dan detik berkenaan tidak harus dilepaskan apatah lagi pada saat untuk memilih pemimpin yang akan membawa hala tuju pembangunan negara. Keadaan di situ juga kelihatan terkawal dengan bantuan Polis Diraja Malaysia dan masyarakat yang turut mengikut arahan dan garis panduan yang ditetapkan.

Warga emas antara meraka yang hadir membuang undi di SK Taman Keramat.

Kawasan Parlimen Titiwangsa membariskan empat orang calon pada Pilihanraya Umum Ke-15 untuk merebut kerusi undi, iaitu Datuk Seri Johari Ghani, calon Barisan Nasional; Dato’ Sri Khairuddin Abu Hassan, calon Parti Pejuang Tanahair; Dr. Rosni Adam, calon Perikatan Nasional; dan Khalid Abd Samad, calon Pakatan Harapan. Menurut Suruhanjaya Pilihanraya, pemilih yang berdaftar untuk pilihan raya tersebut berjumlah 80 747 orang.

Di beberapa kawasan lain, iaitu di Parlimen Gombak, keadaan di kawasan pengundian kelihatan tenang sekitar 4.30 petang tadi. Misalnya, di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang, keadaan kelihatan tenang dan reda daripada kehadiran pengundi.  Hal ini demikian kerana menurut seorang peniaga minuman yang mengambil kesempatan berniaga di kawasan sekolah itu, masyarakat di situ hadir awal ke tempat pengundian bagi mengelakkan kesesakan jalan raya pada sebelah petang.

Suasana tenang di lokasi pengundian di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang.

Dalam Piliharaya Umum Ke-15 pada kali ini, lima calon bagi Parlimen Gombak mempertaruhkan Datuk Seri Mohamed Azmin (Perikatan Nasional), Datuk Seri Amirudin Shari (Pakatan Harapan), Datuk Megat Zulkarnain Omardin (Barisan Nasional),  Datuk Dr. Aziz Jamaludin (Parti Pejuang Tanahair) dan Ir. Haji Zulkifli Ahmad (parti bebas). Kelima-lima calon tersebut bersaing untuk menawan Parlimen Gombak. Berdasarkan data Suruhanjaya Piliharaya, pemilih yang berdaftar dengan Parlimen Gombak berjumlah 206 744 orang.

Biar siapa jua calon, masyarakat di kawasan tersebut sehingga petang tadi terus bersemangat untuk mengundi calon pilihan mereka. Menurut seorang pekerja Foodpanda yang ditemui di lokasi pengundian, beliau menyatakan bahawa beliau turut mencari ruang mengundi pada sebelah petang memandangkan pada waktu pagi beliau perlu bekerja untuk mencari pendapatan. Apabila ditanya tentang calon yang bakal menerajui kawasan tersebut, Encik Anwar, 43 tahun menyatakan bahawa calon yang dipilih ialah pemimpin yang sentiasa membantu rakyat. Pada masa yang sama, beliau berharap agar pemimpin yang akan menawan Parlimen Gombak ialah pemimpin yang mengambil tahu akan keluh kesah rakyat, pemimpin yang dapat turun padang membantu rakyat dan golongan sepertinya.

Seorang lagi pengundi yang turut ditemu bual pada petang ini, iaitu Norfazli Shah, 42 tahun yang berasal dari kawasan Gombak. Menurut Norfazli, beliau berharap agar pemimpin yang bakal terpilih di kawasan itu ialah pemimpin yang bagus, pemimpin yang mempunyai ciri kepimpinan serta pemimpin yang memahami gerak nadi rakyat. Beliau yang kali kedua mengundi di lokasi tersebut menyatakan bahawa sebagai rakyat, beliau akan memberikan kerjasama yang baik kepada pemimpin sekiranya pemimpin tersebut turut memberikan kerjasama yang baik kepada rakyat.

Suasana persekitaran kediaman masyarakat di Gombak dihiasi dengan pelbagai bendera parti.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.