22 November 2022, 16:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah berkenan agar Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perlis yang baharu diadakan di Istana Arau pada Selasa, 22 November 2022, pukul 4.00 petang.

Menurut siaran media dari Istana Arau, pada majlis tersebut seorang calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi pilihan raya baru-baru ini akan dianugerahkan tauliah pelantikan daripada baginda Raja Perlis dan seterusnya mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perlis di hadapan baginda.

DYMM Raja Perlis dan DYTM Raja Muda Perlis menerima sembah mengadap taaruf salah seorang ADUN daripada Perikatan Nasional (PN).

Dalam perkembangan lain, pada petang semalam baginda Raja Perlis diiringi Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima sembah mengadap taaruf secara seorang demi seorang oleh kesemua 14 orang ADUN daripada Perikatan Nasional (PN) selepas PN berjaya membentuk kerajaan melalui kemenangan 14 kerusi daripada 15 kerusi DUN semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri Perlis baru-baru ini.

Pada malam sebelumnya, Tuanku Syed Sirajuddin juga telah turut berkenan menerima mengadap Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang telah mempersembahkan surat cadangan nama calon Menteri Besar Perlis yang baharu daripada Pengerusi PN untuk pertimbangan dan limpah perkenan baginda. Turut hadir ialah Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Haji Takiyuddin Hassan dan juga Bendahari Agung PN, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.