24 November 2022, 18:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim selesai mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara pada pukul 5.06 petang hari ini.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada hari ini selesai menzahirkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim, 75, di Istana Negara.

Majlis di Singgahsana Kecil Istana Negara menyaksikan Dato’ Seri Anwar yang juga ahli Parlimen Tambun melahirkan setia dan sumpah simpan rahsia di hadapan yang Dipertuan Agong.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (isteri Perdana Menteri).

Antara pemimpin parti politik yang hadir termasuklah Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Dalam majlis istiadat itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah turut membacakan doa untuk kesejahteraan negara. Sebelum itu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Kesepuluh selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan selepas Seri Paduka mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu mengenai proses melantik Perdana Menteri susulan Pilihan Raya Umum ke-15 pada 19 November lalu.

Untuk rekod, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pernah menyandang beberapa jawatan dalam kabinet, iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1982), Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1983), Menteri Pendidikan (1986 hingga 1991), Menteri Kewangan (1991 hingga 1998) dan Timbalan Perdana Menteri (1993 hingga 1998).

Beliau bagaimanapun dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri daripada kabinet dan UMNO sebagai Timbalan Presiden pada tahun 1998. Sususlan dipecat, beliau mengetuai bantahan awam terhadap Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamed dan dari situlah bermulanya gerakan reformasi yang terus subur sehingga kini.

Antara pencapaian terbaik beliau termasuklah diiktiraf sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia oleh Asia Money pada tahun 1996.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Presiden Majlis Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (Unesco), Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, Presiden Kehormat Kebolehpercayaan dan Ahli Lembaga Penasihat Kumpulan Krisis Antarabangsa.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.