28 November 2022, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Sebanyak 243 orang peserta yang mewakili 19 buah pasukan dari negeri dan kelab di Semenanjung Malaysia dan satu pasukan dari Indonesia telah mengambil bahagian dalam Kejohanan Woodball Terbuka Perlis dan Jemputan Antarabangsa 2022 dari 25 hingga 27 November.

Kejohanan tersebut dianjurkan oleh Pejabat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Negeri (MOTAC) Negeri Perlis dengan kerjasama Persatuan Woodball Negeri Perlis (PWNPs).

Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Dewan Semarak Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis pada petang semalam.

Menyambut keberangkatan baginda ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC) Malaysia Norazman Othman dan Timbalan Presiden PWNPs, Zaharin Haris.

Dalam ucapan baginda selaku Penaung PWNPs, Tuanku Syed Faizuddin Putra berharap agar kejohanan sebegini akan terus berkembang dan diperkasakan melalui pelbagai pertandingan woodball yang turut melibatkan negara jiran, selain mempelbagaikan usaha meningkatkan taraf kesedaran sukan woodball, seperti penganjuran pertandingan persahabatan, bengkel, kursus di seluruh negara dengan penyertaan yang lebih banyak lagi dalam kategori remaja pada masa hadapan.

Tambah Tuanku Raja Muda lagi, kejohanan sebegini wajar dijadikan acara tahunan secara berterusan pada setiap tahun dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menarik pelancong dari luar negara yang bukan sahaja untuk bertanding semata-mata, malah turut melawat negeri Perlis melalui pelancongan sukan.

Kejohanan kali ini mempertandingkan 12 jenis kategori dan dilangsungkan di tiga buah lokasi, iaitu di Laman Woodball Kolej Matrikulasi Perlis di Arau, Laman Woodball Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis, Arau dan Laman Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pauh Putra.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.