Oleh Basirah Arifin
5 Disember 2022, 21:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) telah mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Penyiaran Kelantan bagi memperkukuh jaringan kerjasama kebahasaan dan kesusasteraan bagi tahun 2023.

Pertemuan ini dihadiri oleh Puan Ariza Che Ismail, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur dan Encik Wan Azhan Wan Hamat, Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan. Turut hadir sama ialah Encik Muhamad Khairunizam Abdul Salam, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Kelantan dan pegawai kanan DBPWT.

Hubungan kerjasama ini terjalin untuk merealisasikan program bahasa dan sastera pada tahun 2023.

Menyorot kembali sejarah kerjasama antara DBPWT dengan Jabatan Penyiaran Kelantan, khususnya Radio Malaysia Kelantan FM yang sememangnya telah terbina sekian lama, yakni sejak penubuhan DBPWT lagi. Kedua-dua agensi ini mempunyai matlamat sama dalam usaha merealisasikan program bahasa dan sastera.

“Kayanya Bahasa Kita” merupakan program yang mendapat perhatian pendengar tertinggi sejak tahun 2006 hingga kini. Rancangan ini dilakukan secara langsung di Radio Malaysia Kelantan FM pada setiap hari Khamis. Tujuannya adalah untuk meningkatkan pemahaman dan kecintaan masyarakat, khususnya generasi muda terhadap dialek Kelantan yang digunakan oleh generasi terdahulu agar terus terpelihara sebagai satu daripada elemen pengukuhan jati diri anak bangsa. Program lain turut diadakan sebelum ini, termasuklah Cakna Bahasa, Jendela Bahasa, Drama Radio Titian Mubarak, Indahnya Pantun, Kuiz Bulan Bahasa Kebangsaan dan Klip Peribahasa.

Bagi memperkukuhkan penganjuran program pada tahun 2023 akan datang di Radio Malaysia Kelantan FM, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan program Kayanya Bahasa Kita dengan penerapan dan perbandingan makna dari segi bahasa Melayu standard dan istilah. Program lain turut diadakan, antaranya termasuklah Ceria Bahasa yang memfokuskan kepada peribahasa, simpulan bahasa, makna, istilah dan Jawi.

Mengulas lebih lanjut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk mengangkat karya penulis tempatan sebagai karya Drama Radio. Menurut Puan Ariza Che Ismail, program penyebaran bahasa dan sastera di radio bukan sahaja terbatas kepada pendengar tempatan, malah dengan kepesatan teknologi pintar membolehkan penyebaran bahasa yang disiarkan melalui radio turut boleh disebarluaskan ke seantero dunia apabila disiarkan secara langsung dan dikongsi menerusi media sosial, seperti Facebook, Instagram, StreamYard, MyKlik, You Tube dan lain-lain.

Sumber foto: Nor Baizura Ibrahim.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.