21 Disember 2022, 20:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis hari ini mengorak langkah dalam usaha memantapkan kerjasama dan mempergiat aktiviti dalam bidang wakaf, penulisan, penyelidikan, inovasi, penganjuran program dan pembangunan pelajar dengan menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dan Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universitas Negeri Malang, Indonesia; Universitas Muria Kudus, Indonesia; Universitas Multi Data Palembang, Indonesia; CJ Bio Malaysia Sdn. Bhd., Malaysia; Proofreading by a UK PhD Limited Liability Partnership (LLP), Malaysia; Informology Sdn. Bhd., Malaysia; dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Malaysia.

Memorandum Perjanjian (MoA) dan Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Universitas Negeri Malang, Indonesiadan dan CJ Bio Sdn. Bhd. membuka peluang yang lebih luas kepada UiTM Cawangan Perlis.

Dua MoA yang ditandatangani dengan Universitas Negeri Malang dan CJ Bio Sdn. Bhd.  membolehkan penyelidik dari UiTM Cawangan Perlis bekerjasama dengan rakan MoA masing-masing untuk Geran Perkongsian Penyelidikan Strategik.

Kerjasama antara UiTM dengan Universitas Muria Kudus, Indonesia, pula bermula apabila pihak Universitas Muria Kudus bersetuju untuk membantu memberikan sokongan kepada Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Cawangan Perlis dengan menyertai Festival Puisi Antarabangsa Arau 2022 sebagai rakan strategik baru-baru ini, manakala Universitas Multi Data Palembang menjadi penganjur bersama bagi Persidangan Pelajar MDP bersama-sama UiTM Cawangan Perlis.

Proofreading by a UK PhD LLP melalui perjanjian yang ditandatangani ini pula akan membantu meningkatkan kepakaran penulisan staf akademik UiTM Cawangan Perlis melalui siri webinar penulisan yang diadakan setiap suku tahun, manakala kerjasama bersama-sama pihak Informology Sdn. Bhd. akan membantu penyelidik dari UiTM Cawangan Perlis dalam membangunkan projek inovasi i-Mask.

Pihak MAIPs pula memainkan peranan penting dalam menyokong UiTM Cawangan Perlis untuk projek Dana Wakaf Ilmu menerusi perjanjian yang ditandatangani ini.

Di sebalik MoU dan MoA pada hari ini, pihak UiTM berharap agar usaha itu terus mempertingkat kerjasama dengan rakan kongsi strategik baharu ini dalam setiap aspek dan memberikan inspirasi kepada penemuan peluang yang lebih besar untuk bergerak ke arah masa depan yang mampan.

“Semoga MoU dan MoA bersama-sama rakan strategik pada hari ini akan mewujudkan sinergi kepada kedua-dua pihak untuk mempromosikan kecemerlangan dalam pengajian tinggi terutamanya dalam penyelidikan, inovasi dan rangkaian serta pembangunan bakat yang akan menjadi masa depan masyarakat dan negara kita masing-masing,” ujar Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi, Rektor UiTM Cawangan Perlis sebelum mengakhiri ucapannya dalam majlis menandatangani MoA dan MoU tersebut.

UiTM diwakili oleh Prof. Madya Ts. Dr Shukor Sanim Mohd Fauzi dan Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, Ts. Gs. Dr Ernieza Suhana Mokhtar, barisan pengurusan kanan UiTM Cawangan Perlis, serta staf bahagian lain.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, dan wakil daripada tujuh institusi dan industri yang hadir secara maya, termasuklah CJ Bio Malaysia Sdn. Bhd., Encik Muhammad Firdaus Arifin; Dr. Johannes Petrus, Universitas Multi Data Palembang, Prof. Dr. Hariyono, Rektor Universitas Negeri Malang; Prof. Dr. Ir. Darsono, Rektor Universitas Muria Kudus; Dr. Thavamaran Kanesan, Pengarah Urusan Proofreading by a UK PhD LLP; dan Puan Nurul Emirah Dato’ Sri Alias, Pengarah Urusan Informology Sdn. Bhd.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.