Oleh Abd Razak Osman
29 Disember 2022, 19:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Majlis penerimaan sumbangan kereta Mazda CX-5, iaitu hadiah Anugerah Plantinum AceTVET Peringkat Kebangsaan telah berlangsung di Kolej Vokasional Sungai Petani 2 (KVSP2), Kedah.

Penyerahan kereta tersebut yang berharga kira-kira RM180 000 berlangsung di hadapan pintu masuk KVSP2 dan disampaikan oleh Penolong Pengurus Latihan Teknikal B Auto Prima Merdu Sdn. Bhd, Butterworth, Pulau Pinang, iaitu Hashim Abdul Rahman.

Hashim Abdul Rahman menyerahkan kunci kereta kepada Pengarah KVSP2, Majmin Md. Noor.

Pengarah KVSP2, Majmin Md. Noor berkata, pihaknya begitu terharu dan gembira kerana menerima hadiah setelah memenangi tempat pertama Pertandingan AceTVET 2021 anjuran Bahagian Pendidikan Latihan Teknikal Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

 

Jelas beliau, sebanyak 86 Kolej Vokasional (KV) dan sembilan buah Sekolah Menengah Teknik (SMT) dari seluruh negara menyertai pertandingan itu.

KVSP2 mempunyai hampir 1 000 pelajar dengan 119 orang Pensyarah.

“Kemenangan dan hadiah diterima sudah tentu menjadi satu kenangan serta inspirasi baharu kepada KV dan SMT lain untuk sama-sama melakukan aktiviti terbaik bagi mendapat hadiah tersebut pada masa akan datang.

Menurutnya lagi, sebuah panel telah dilantik khas oleh KPM yang hanya akan memilih sebuah KV atau SMT untuk menerima hadiah berkenaan.

Bacaan doa sempena majlis penyerahan hadiah tersebut.

AceTVET merupakan medium untuk mengukur, menilai dan menentukan standard kualiti kecemerlangan KV yang mula diguna pakai bermula pada tahun 2018 lagi bagi mengenal pasti tahap, status kualiti, kecemerlangan, standard yang telah dicapai, kekuatan dan kelemahan diikuti perancangan untuk penambahbaikan.

AceTVET juga merupakan penilaian kendiri yang merangkumi lapan bahagian, iaitu Pengurusan Organisasi, Pelibatan, Pencapaian, Program Pengantarabangsaan, Reka Cipta dan Inovasi, Pertandingan Kemahiran dan Keusahawanan. Pencapaian skor dikategorikan kepada empat kedudukan bintang, iaitu Platinum, Emas, Perak dan Gangsa dan proses penilaian ini mengambil tempoh masa setahun.

Kemenangan AceTVET mengambil kira elemen dan semua aspek dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMG2), Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dan SekolahKu Sejahtera. Pelaksanaan AceTVET ini menggunakan peruntukan Dasar Sedia Ada (DSA).

Sesungguhnya, usaha yang dilakukan tanpa mengenai erti jemu dan bosan selama ini, akhirnya membuahkan hasil sehingga menceriakan semua pelajar dan petugas di KVSP2 sendiri.

Kakitangan KVSP2 bergambar kenangan selepas menerima kereta Mazda CX-5.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Ismail Othman, Yang Dipertua Majlis Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru (MPIBG) KVSP2, Kapten Mohd Saftar Mohd Saad dan Presiden Alumni KVSP2, Mohd Farizan Mohd Saad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.