19 Januari 2023, 20:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
YB Fadhlina Sidek (tengah) mengulas tentang pelantikan MPPK dalam sidang media yang berlangsung di Auditorium Kompleks E, Putrajaya petang tadi.

Putrajaya – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek mengumumkan sembilan orang tokoh dan individu yang mempunyai kepakaran dan kepelbagaian latar belakang dalam bidang masing-masing bagi menganggotai Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) Sesi 2023–2025.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataannya mengatakan bahawa keanggotaan majlis ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan profesional daripada tokoh atau individu yang mempunyai pengalaman, pengetahuan dan kepakaran dalam perkara yang berkaitan dengan pendidikan.

YB Fadhlina Sidek berkata,

Isu bebanan tugas guru merupakan antara perkara yang akan menjadi tumpuan utama MPPK untuk diperhalusi sebelum cadangan penyelesaian terbaik bagi menangani isu tersebut dikemukakan kepada saya untuk dipertimbangkan.

MPPK 2023–2025 ini akan dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Dr. Amin Senin, mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia. Pengalaman luas beliau dalam bidang pendidikan dengan gabungan mantap lapan orang ahli MPPK lain diyakini dapat memikul amanah dalam usaha untuk membantu KPM mengemudi sektor pendidikan negara dengan mengemukakan idea bernas yang membuka laluan ke arah pembaharuan, kesepaduan dan pendemokrasian pendidikan.

Mengulas lanjut mengenai MPPK ketika sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 tadi, YB Menteri Pendidikan menjelaskan MPPK mulai ditubuhkan oleh YB Menteri Pendidikan pada November 2010 seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 10, Akta Pendidikan 1996 [Akta 550].

Ulas beliau lagi, MPPK berperanan untuk menasihati menteri berhubung dengan apa-apa isu pendidikan yang dirujuk oleh menteri kepada MPPK dengan mengemukakan syor berkaitan perkara yang dirujukkan itu untuk pertimbangan oleh YB Menteri.

Turut hadir bersama-sama YB Menteri Pendidikan ialah Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPM, Encik Ramzi Mansor dan mantan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Amin Senin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.