19 Januari 2023, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pada 19 Januari 2023, bertempat di Auditorium Kompleks E, Putrajaya, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek telah menyampaikan amanat tahun baharu 2023 kepada warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Memandangkan ini merupakan tahun pertama beliau memegang tampuk kepimpinan di KPM, sudah tentu banyak idea yang ingin dilaksanakan untuk menjadikan sistem pendidikan negara lebih berkualiti.

Pada awal majlis, YB Fadhlina terlebih dahulu merakamkan ucapan terima kasih kepada warga KPM atas komitmen yang diberikan secara berterusan demi menyampaikan agenda pendidikan kepada anak bangsa. Agenda pendidikan tersebut perlu dirangkul bersama kerana warga KPM merupakan pemegang taruh utama dalam pendidikan negara. Bagi memastikan agenda pendidikan negara dapat dilaksanakan dengan berkesan, aspek kerja secara berpasukan harus dititikberatkan dalam kalangan warga kerja KPM.

Semangat kerjasama sebagai satu pasukan amat dititikberatkan oleh YB Fadhlina Sidek dalam menerajui KPM.

Beliau pada majlis tadi turut mengulas tentang amanat yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tentang konsep Madani yang diumumkan pada pagi tadi. Menurut YB Fadhlina, setiap maksud yang diterapkan dalam konsep Madani tersebut merangkumi setiap aspek dalam sektor pendidikan, terutamanya tujuh hala tuju yang menjadi agenda utama KPM.

Menurut beliau, masyarakat pada hari ini semakin menyedari bahawa keperluan pendidikan yang baik dan berkualiti sangat berkait rapat dalam menentukan kualiti masa hadapan generasi anak bangsa. Oleh itu, untuk melangkah ke tahun 2023, keprihatinan masyarakat dan senario semasa telah menjadikan dunia pendidikan ini menjadi sangat mencabar dan kompetitif.

Saya ingin menyeru agar kita semua kembali kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan sebagai asas pengukuhan sistem pendidikan negara. Hal tersebut selari dengan aspirasi KPM dan elemen karamah insaniah yang menitikberatkan pembangunan dan pembentukan murid yang berakhlak, beradab dan berintegriti.

Tambahnya lagi, semua warga KPM akan lebih bersiap siaga dan sentiasa dinamik dalam melaksanakan gerak kerja dan sentiasa berpegang teguh terhadap tujuh teras hala tuju KPM agar dapat memastikan kementerian ini kekal relevan.

Sebagai inti pati yang ingin disampaikan dalam amanat pada petang tadi, beliau menekankan tiga segmen utama, iaitu mendepani cabaran tahun 2023 bagi memastikan  pendidikan negara menjadi pendidikan yang terbaik, melihat fokus strategi dalam memacu hala tuju KPM dan merangka tujahan ke hadapan yang memerlukan setiap warga KPM bersiap sedia bagi menjayakan agenda pendidikan negara.

Beliau turut menekankan tentang empat cabaran utama yang dikenal pasti dalam dimensi pendidikan yang harus diambil berat, iaitu kesaksamaan pendidikan, kebajikan guru, pengajaran dan pembelajaran dan murid berkeperluan pendidikan khas. Cabaran yang terdapat dalam kesaksamaan pendidikan adalah untuk memastikan kesaksamaan pendidikan sebagai teras perkhidmatan dan kesaksamaan pengurusan pendidikan terhadap semua peringkat dapat direalisasikan. Hal ini penting bagi memastikan semua murid tanpa mengira lokaliti dan latar belakang akan mendapat peluang pembelajaran yang sama seperti murid lain.

Seterusnya, cabaran turut dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, iaitu meningkatkan capaian pendigitalan pendidikan sebagai usaha menguruskan kemiskinan multidimensi dan membantu pelajar dalam kalangan B40. Hal tersebut penting bagi memastikan pelajar kembali ke sekolah dan keluar daripada kemelut keciciran.

Ketika menerangkan tentang cabaran yang dihadapi dalam pendidikan negara, YB Fadhlina Sidek turut meletakkan murid berkeperluan pendidikan khas sebagai keutamaan beliau. Hal ini bagi memastikan hak untuk mendapatkan pendidikan wajib difahami, termasuk bagi murid berkeperluan khas yang terdiri daripada enam kategori, iaitu ketidakupayaan pendengaran, ketidakupayaan penglihatan, ketidakupayaan pertuturan, ketidakupayaan fizikal, masalah pembelajaran dan ketidakupayaan pelbagai.

Pada majlis yang sama, turut diadakan sesi pengenalan dan penyampaian watikah pelantikan anggota Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi sesi 2023 – 2025. YB Fadhlina Sidek telah bersetuju untuk melantik sembilan orang tokoh dan individu yang mempunyai kepakaran dan latar belakang yang pelbagai dalam bidang masing-masing. Isu bebanan tugas guru merupakan antara isu yang akan menjadi tumpuan utama MPPK.

Barisan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan 2023-2025 yang menerima watikah pelantikan pada hari ini.

Turut hadir dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 YB Menteri Pendidikan pada petang tadi ialah, Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying; Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Pkharuddin Haji Ghazali; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBrs Encik Ramzi Mansor; dif-dif kehormat dan warga kerja KPM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.