22 Januari 2023, 17:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serendah – Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat ke Rail Depot yang merupakan milik syarikat Dhaya Maju Infrastructure Asia (DMIA) Sdn. Bhd. yang terletak di Serendah, Hulu Selangor, semalam.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan menerima taklimat berkaitan dengan pengoperasian di Rail Depot.

Keberangkatan tiba baginda disambut Pengerusi Kumpulan DMIA, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (Bersara) dan Pengarah Eksekutif Kumpulan DMIA, Datuk Seri Dr. Subramaniam Pillai. Yang turut hadir ketika lawatan tersebut ialah Ahli Lembaga Pengarah DMIA, iaitu Tan Sri Mazlan Lazim, Tan Sri Ismail Haji Bakar dan Datuk Shaharuddin Md Som.

Baginda pada sesi keberangkatan tersebut turut beramah mesra dengan pihak pengurusan serta menyantuni tenaga kerja syarikat tersebut yang hadir dan meninjau sendiri peralatan dan aset kereta api termasuk jentera berat rehabilitasi landasan yang digunakan untuk projek naik taraf infrastruktur landasan berkembar elektrik di Lembah Klang.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan beramah mesra dengan pihak pengurusan serta menyantuni tenaga kerja syarikat yang terlibat. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DMIA, Datuk Mohamed Razeek Hussain turut menyampaikan sembah taklimat berkaitan dengan peranan, cabaran serta kejayaan DMIA sepanjang tahun lalu serta perancangan pada tahun 2023. Beliau ketika menyampaikan sembah taklimat tersebut turut menekankan peri penting setiap peringkat warga kerjanya melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan penuh amanah demi untuk keselamatan, kemudahan dan keselesaan kepada pengguna yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak mereka.

Menurut Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed dalam sembah ucapan alu-aluan, beliau menekankan tentang pemantauan dan rasa tanggungjawab setiap kakitangan untuk menunaikan tugasan dengan penuh berintegriti yang menjadi teras utama bagi memastikan kejayaan sesebuah organisasi. Setiap tugasan dilakukan bukan sekadar untuk memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI), namun demi menunaikan amanah serta tanggungjawab terhadap kerja masing-masing.

Tambah beliau lagi,

Menjadi suatu kelaziman bagi setiap individu untuk meletakkan sasaran serta azam baharu bagi permulaan pada setiap tahun. Namun begitu, sebagai seorang pekerja, matlamat yang sebenar adalah apabila melaksanakan setiap tugasan, mereka seharusnya mencapai tahap yang terbaik dan mestilah lebih baik daripada yang sebelumnya.

Terdahulu, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran DMIA Tahun 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.