Oleh Julia Henry
24 Januari 2023, 13:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Hampir lebih daripada 3000 rakyat membanjiri Ceruk Tok Kun untuk bertemu dan beramah mesra dengan YAB Perdana Menteri.

Bukit Mertajam – Pada 23 Januari 2023 pukul 8.00 malam, Ceruk Tok Kun yang merupakan tempat kelahiran Perdana Menteri ke-10 dipenuhi oleh rakyat Pulau Pinang, khususnya penduduk yang tinggal berdekatan kerana menyambut ketibaan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Kenduri Rakyat Bersama-sama Perdana Menteri di Galeri Pejuang. Galeri Pejuang merupakan kediaman keluarga YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, iaitu tempat beliau dibesarkan.

Ribuan rakyat hadir bagi meraikan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang buat kali pertama pulang ke kampung halaman selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022. Sebelum itu, Perdana Menteri menyertai solat Maghrib berjemaah di Masjid Jamek Cherok Tok Kun Bawah yang terletak tidak jauh dari kediaman berkenaan.

Dalam ucapan beliau, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua rakyat:

Apa-apa pun kedudukan kita, kita mesti mengakar ke bumi. Kita tidak boleh lupa diri walaupun sudah berada di puncak. Oleh itu sebab itu juga saya meminta penganjur untuk mengadakan majlis yang sesederhana mungkin sempena Kenduri Rakyat di Bukit Mertajam ini, khususnya di Ceruk Tok Kun, yakni tempat kelahiran saya.

Selain itu, beliau turut menyebut soal masyarakat madani yang terasnya nilai, akhlak dan akidah bagi mengangkat martabat insan.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, yang juga Timbalan Menteri Kewangan II, YB Steven Sim Chee Keong dalam ucapannya selaku tuan rumah berkata,

Saya berasa sangat girang kerana rajawali sudah kembali ke sarang. Rajawali ini merupakan pejuang yang telah berjuang dalam satu tempoh masa yang begitu lama untuk menegakkan keadilan. Saya pasti semua yang ada di sini berasa gembira kerana rajawali sudah terbang tinggi. Walaupun sudah terbang tinggi, namun hari ini rajawali ini kembali ke tanah asalnya.

YB Steven Sim turut memetik puisi karya Rendra bagi menggambarkan rajawali yang beliau maksudkan itu, “Rajawali yang terbang tinggi itu akan terus membelah langit dengan setia”. Daripada petikan puisi itu, YB Steven Sim yakin YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak akan melupakan rakyat apatah lagi melupakan Bukit Mertajam.

Ketua Menteri Pulau Pinang dalam ucapannya turut menyatakan sokongan yang sepenuhnya kepada Perdana Menteri itu. “Bagi pihak kepimpinan kerajaan negeri dan seluruh rakyat negeri Pulau Pinang, tahun 2023 pasti membawa lembaran baharu kepada kita. Saya juga yakin Perdana Menteri dapat membentuk masa depan yang lebih baik bagi penduduk Pulau Pinang.”

Mengakhiri ucapan beliau, YB Chow Kon Yeow menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama sebagai sebuah pasukan kerana percaya kredibiliti, pengetahuan dan pengalaman luas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang namanya tidak asing pada peringkat negara dan juga dunia.

Turut hadir dalam majlis Kenduri Rakyat ialah Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Pendidikan, YB Lim Hui Ying, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, YB Dato’ Mohd Sayuthi Bakar, Datuk Bandaraya Pulau Pinang, Dato‘ Ar. Yew Tung Seang dan Mufti Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Mohd. Noor, serta Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Kepulangan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim ke kampung halamannya dalam lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang diiringi oleh isteri, YB Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan anak beliau, Nurul Izzah Anwar. Menurut penganjur, hampir 3000 rakyat membanjiri Ceruk Tok Kun untuk bertemu dan beramah mesra dengan Perdana Menteri ke-10 itu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.