24 Januari 2023, 20:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 Johor Bahru  – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merujuk  satu hantaran di aplikasi Twitter berhubung dengan penganjuran Bengkel Persediaan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) oleh SMK Infant Jesus Convent, Johor Bahru, Johor. KPM telah mendapatkan maklum balas awal dari pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor berhubung dengan bengkel berkenaan serta justifikasi program yang dilaksanakan dalam dua siri.

Bengkel tersebut diadakan atas inisiatif Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru yang telah menganjurkan dialog prestasi yang kemudiannya disusuli dengan penganjuran bengkel tersebut oleh pihak sekolah. Program tersebut merupakan kerjasama antara Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan dengan Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) serta Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS). Laporan awal mendapati bahawa bengkel tersebut merupakan satu daripada pelbagai perancangan pihak yang berkaitan bagi memastikan semua murid tanpa mengira kaum dapat membuat persediaan menjelang peperiksaan SPM.

Pada 19 dan 20 Januari 2023, Bengkel Persediaan SPM untuk calon telah dilaksanakan terlebih dahulu di Hotel Suasana, Johor Bahru melibatkan 30 orang calon yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah serta melibatkan calon GALUS (gagal lulus) dalam beberapa mata pelajaran lain. Bengkel yang dilaksanakan diasingkan mengikut siri untuk mengelakkan gangguan terhadap calon yang sedang membuat persiapan bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

KPM turut dimaklumkan bahawa bengkel susulan yang sama bagi calon lain juga telah dirancang untuk dilaksanakan pada 26 dan 27 Januari 2023 bertempat di hotel yang sama. Hasil siasatan mendapati tiada isu diskriminasi terhadap semua calon yang akan menduduki SPM dalam program yang telah dirancang oleh pihak sekolah dengan melibatkan pegangan agama berbeza sebagaimana yang didakwa.

Walau bagaimanpun, KPM menyifatkan prestasi komunikasi akan dipertingkatkan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang. Pendidikan adalah elemen utama yang merentas setiap kaum, agama dan bangsa. Proses dan carta alir penganjuran program oleh pihak sekolah adalah antara aspek yang sering diberi penekanan. KPM juga memohon kerjasama agar ibu bapa dan masyarakat terus menghubungi KPM melalui platform rasmi sekiranya terdapat sebarang isu atau masalah terutamanya yang melibatkan murid-murid kerana KPM sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan murid sentiasa menjadi keutamaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.