Oleh Julia Henry
27 Januari 2023, 08:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bukit Mertajam – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) yang lokasinya terletak di Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menerima kunjungan sulung daripada YBhg. Dr. Hazami Jahari selaku Ketua Pengarah (KP) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang baharu pada 26 Januari 2023. Beliau yang diiringi oleh Ketua Bahagian Komunikasi Korporat, Encik Sharrul Rizal Hashim tiba di DBPWU pada pukul 9.00 pagi. Pengarah DBPWU, Puan Nurul Julia Alani Henry dan Timbalan Pengarah (Sastera), Puan Khairul Anum Mohd Ali dan Timbalan Pengarah (Bahasa), Encik E Pian Pro Pol menyambut ketibaan YBhg. Dr. Hazami Jahari, kemudian bersama-sama karyawan DBPWU bagi mendengar amanat beliau yang baru seminggu dilantik sebagai Ketua Pengarah DBP.

Pengarah DBPWU menyampaikan taklimat ringkas tentang sumber tenaga, keadaan dan peralatan pejabat, serta program terdekat yang bakal dilaksanakan oleh DBPWU.

Sebelum itu, Pengarah DBPWU merakamkan ucapan terima kasih kepada YBhg. Dr. Hazami kerana dalam urusan tugas rasmi di Pulau Pinang, beliau sanggup meluangkan masa untuk menyantuni karyawan di DBPWU. Kemudian, Pengarah DBPWU menyampaikan taklimat ringkas tentang sumber tenaga, keadaan dan peralatan pejabat, serta program terdekat yang bakal dilaksanakan oleh DBPWU di empat negeri di utara tanah air, iaitu Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Ketua Pengarah turut dimaklumkan tentang ruang dan kemudahan pejabat yang perlu dibuat pengubahsuaian.

Dalam pembukaan ucapannya, YBhg. Dr. Hazami mengimbau kenangan beliau semasa dalam tempoh pengajian peringkat PhD di Universiti Sains Malaysia (USM).

“DBPWU banyak meninggalkan kenangan manis kepada saya, terutamanya semasa saya belajar di USM. Ketika itu, saya menyewa rumah di Bandar Perda ini dan sering datang ke sini untuk membuat rujukan di Pusat Dokumentasi Melayu (PDM). Oleh itu, saya berterima kasih kepada pegawai DBPWU yang membantu saya pada ketika itu. Oleh sebab itulah, apabila ada tugas rasmi di sini, saya mengambil peluang tersebut untuk mengunjungi pejabat ini,” demikian kata Dr. Hazami yang berkongsi kenangannya yang pernah tinggal di Bandar Perda semasa belajar di USM.

Dalam amanat beliau kepada karyawan DBPWU, YBhg. Dr. Hazami berharap agar projek atau aktiviti yang dilaksanakan perlu melibatkan kerjasama dengan pihak lain, terutamanya persatuan penulis, badan bukan kerajaan dan pertubuhan lain. Tujuannya adalah untuk memastikan aktiviti tersebut dapat memberikan impak yang besar hasil jalinan kerjasama yang strategik dengan pelbagai pihak. Kerjasama itu sama ada dari segi tanggungan kos, sumber tenaga atau kepakaran.

Ujar beliau, “Yang paling penting, pihak kita perlu memperbaik hubungan dengan mana-mana pihak sekiranya ada salah faham atau pertikaian yang berlaku sebelum ini. Kembalikan keyakinan pihak luar terhadap peranan utama DBP sebagai satu-satunya institusi yang mengembangkan, memartabatkan dan menyebarluaskan hal kebahasaan dan kesusasteraan.”

YBhg. Dr. Hazami  juga mengingatkan karyawan DBPWU agar bekerja dalam keadaan yang bersemangat untuk mengangkat citra DBP sebagai badan peneraju aktiviti bahasa dan sastera Melayu. Selain itu, beliau berharap agar wujudnya suasana kerja yang harmoni dalam kalangan staf dan juga antara staf dengan pihak luar, lebih-lebih lagi semasa melaksanakan aktiviti.

Menurut YBhg. Dr. Hazami, beliau akan menyampaikan hasrat dan hala tuju DBP di bawah kepimpinannya dalam masa terdekat. Namun begitu, perkara utama yang akan dilaksanakan oleh beliau adalah menaikan semangat bekerja dalam kalangan staf DBP, bekerja sebagai satu pasukan dan tidak hanya tertumpu pada pada projek atau aktiviti bahagian masing-masing.

“Laksanakan program yang berimpak besar, tetapi matlamatnya haruslah tidak lari daripada apa-apa yang digariskan dalam Perancangan Strategik DBP,” demikian jelas YBhg. Dr. Hazami mengakhiri amanatnya di hadapan 13 karyawan DBPWU yang berlangsung di Sudut Penulis. Sebelum meninggalkan DBPWU, YBhg. Dr. Hazami menandatangani buku pelawat dan kemudian bergambar kenangan bersama-sama karyawan DBPWU.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.