27 Januari 2023, 10:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

George Town – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (L) telah mengadakan Bengkel Asas Pengacaraan Majlis Rasmi dan Kesantunannya, yang dikendalikan oleh Cikgu Iswandy Ishak selaku guru kaunselor dengan kerjasama jawatankuasa guru kepimpinan pengawas sekolah.

Sebanyak 33 orang barisan kepimpinan pelajar yang terlibat dengan bengkel ini, iaitu 13 orang pengawas dan 20 orang Pembimbing Rakan Sebaya Tingkatan 4. Program yang disirami ilmu seluas lautan ini telah dipimpin dan disampaikan oleh Cikgu Nurul Aini Mohd Yunus dari Kolej Vokasional Batu Lanchang.

Cikgu Nurul bergambar bersama-sama peserta bengkel.

Tujuan perkongsian ilmu tersebut adalah sebagai santapan minda kepada pelajar, terutamanya yang menyimpan impian dan hajat untuk sentiasa terpilih dan menjadi kepercayaan warga guru untuk mengendalikan majlis rasmi di sekolah khususnya.

Menurut Cikgu Nurul Aini, pemimpin pelajar pada zaman ini perlu diberi pendedahan dengan pelbagai ilmu seiring dengan dunia tanpa sempadan. Hal ini demikian kerana pelajar inilah yang bakal menerajui tampuk kepimpinan dunia akan datang.

Bengkel asas pengacaraan ini merupakan satu lonjakan buat pelajar untuk terus tampil ke hadapan membuktikan mereka berani menyahut apa-apa jua cabaran, terutamanya dalam mengendalikan majlis sebagai pengacara.

Sebagai wadah kemajuan barisan kepimpinan pelajar dalam hal mengendalikan majlis, bengkel ini telah dilaksanakan dengan jayanya. Pendedahan asas dan kesantunan yang wujud dalam mengacara majlis, seharusnya dikuasai oleh setiap personal yang menerajui jawatankuasa ini.

Antara panduan kesantunan dalam aspek pengacaraan majlis.

Antara lima kriteria asas pengacaraan majlis yang wajib pelajar kuasai, termasuklah ciri pengacara, penyediaan teks, vokal dan teknikal, cara penyampaian, serta keperibadian pengacara majlis itu sendiri.

Pada masa yang sama, Cikgu Nurul turut berkongsi tentang kesantunan dalam pengacaraan, yakni melibatkan cara berbahasa, kesopanan dalam memberikan pesanan dan pengumuman kepada audiens, beradab sewaktu menyebut nama dan jawatan di salutasi dan bersifat mesra dengan majlis supaya tidak terburu-buru untuk mengakhiri majlis yang sedang dikendalikan. Hal ini akan menunjukkan kewibawaan seorang pengacara majlis dan sentiasa menjadi rebutan para guru untuk memberi kepercayaan kepada pelajar.

Mengulas lanjut, bengkel ini dilihat dapat memberikan galakan dan semangat kepada pemimpin pelajar untuk terus berani tampil ke hadapan, terutamanya dalam mengendalikan majlis sebagai pengacara. Kekuatan bakat yang ada pada pelajar SMKA Al-Mashoor (L) ini merupakan tunjang utama kecemerlangan buat sekolah itu sendiri.

Peserta, Airiez Nazhan menjadi pengacara majlis penutup bengkel secara spontan.

Pada penghujung bengkel ini, seorang pelajar, iaitu Airiez Nazhan Shaiful Shahrulizam telah tampil untuk menjadi pengacara majlis rasmi secara spontan sebagai penutup acara bengkel tersebut. Bakat dan keterampilannya sangat menyerlah dan turut  diserikan dengan sokongan daripada rakan seperjuangan yang sama-sama menjayakan majlis penutupan tersebut. Bengkel Asas Pengacaraan Majlis Rasmi dan Kesantunannya telah ditutup dengan rasminya oleh tuan Pengetua SMKA Al-Mashoor (L), Ustaz Suhaimi Othman.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.