Oleh Abd Razak Osman
27 Januari 2023, 15:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani – Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah telah memeterai dua Memorandum Persefahaman (MoU) yang melibatkan Kelab Bola Sepak Puteri Jaya Kids dan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Kedah (PSSGM) dalam satu majlis yang berlangsung di Bilik Seminar Kaunseling UiTM di Merbok semalam.

UiTM Merbok mengadakan hubungan MoU antara Kelab Bola Sepak Puteri Jaya Kids (kiri) dan Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Kedah (PSSGM) (kanan). 

Tujuan memorandum tersebut direncanakan adalah untuk melakukan hubungan kerjasama dalam penganjuran aktiviti yang dapat mewujudkan nilai tambah kepada pembangunan pelajar dan kakitangan UiTM Cawangan Kedah.

MoU tersebut ditandatangani oleh Rektor UiTM, Profesor Dr. Roshima Said dan Profesor Madya Dr. Azhari Md Hashim selaku Timbalan Rektor (Penyelidikan, Jaringan Industri dan Masyarakat) dan Alumni bagi mewakili UiTM.

Kelab Bola Sepak Puteri Jaya Kids diwakili oleh pengurusnya, Encik Azam Fansuri Aziz dan Presidennya, Encik Zubir Othman. Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia Kebangsaan Negeri Kedah pula diwakili oleh Encik Kholid Salleh selaku Timbalan Pengerusi dan Encik Mohamed Faid Musa selaku Yang Dipertua PSSGM.

Rektor UiTM Cawangan Kedah, Profesor Dr. Roshima dalam ucapannya berkata, UiTM Cawangan Kedah menyambut baik kerjasama dengan penggiat sukan bola sepak dan seni silat. Program sebegini dipercayai dapat membantu memberikan nilai tambah dalam diri pelajar melalui aktiviti kokurikulum apabila dilaksanakan kelak.

“Kami amat berbangga dengan pencapaian mahasiswa UiTM pada tahun lepas ketika mewakili Malaysia dalam pertandingan silat di India dan berjaya memperoleh pingat Perak.

“Kami berharap melalui kerjasama ini, pelajar daripada Persatuan Silat Seni Gayong dapat meneruskan legasi yang boleh membanggakan ini,” jelas beliau.

Pada masa yang sama, Profesor Dr. Roshima berharap dengan termeterainya MoU, Kelab Bola Sepak Puteri Jaya Kids dapat mempergiat pelbagai aktiviti menarik bagi mengasah bakat pelajar sekolah menengah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.