28 Januari 2023, 19:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Alor Setar – STEM merupakan singkatan kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik. Istilah ini biasanya digunakan bagi menunjukkan dasar pendidikan dan pilihan kurikulum sekolah bagi meningkatkan daya saing dalam bidang pembangunan teknologi.

Keperluan kepada STEM wujud apabila kehendak terhadap bidang kerja yang melibatkan STEM adalah jauh lebih tinggi berbanding bidang lain. Namun begitu, minat terhadap bidang STEM terus menurun. Hal ini secara langsung menjejaskan proses pembangunan dan kemajuan negara. Oleh itu, wujud keperluan untuk mengadakan inisiatif tambahan yang berterusan bagi mencapai sasaran 60 peratus pelajar STEM menjelang 2030 bagi memastikan negara mempunyai bekalan bakat STEM yang mencukupi sejajar Matlamat Pembangunan Mampan 2030 yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Dalam konteks tersebut, para pelajar terutamanya di negeri Perlis perlu didedahkan kepada bidang ini bagi membantu menyediakan lebih banyak sumber kerja kepada negara. Namun begitu, permasalahan timbul apabila pelajar sekarang masih tidak dapat memenuhi kriteria keperluan tersebut sama ada dari segi bilangan mahupun kualiti kerja dalam bidang STEM.

Memahami keperluan tersebut, maka Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) bersama UiTM Cawangan Perlis, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis memperkenalkan program Integrasi Pemikiran Kompusional (Computational Thinking) menggunakan Bahasa Inggeris Merentas Bidang STEM atau COMEL kepada pelajar-pelajar di negeri Perlis.

Program COMEL ini bertujuan membantu memupuk dan membina minat dalam kalangan pelajar untuk menyambung pelajaran dalam bidang berkaitan STEM sejak dari sekolah rendah lagi dengan mengintegrasi pemikiran komputasional dengan bahasa Inggeris merentas bidang STEM dalam kalangan pelajar-pelajar di negeri Perlis.

YBhg. Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi (berdiri) bersama-sama guru-guru dan pensyarah yang terlibat dalam program ToT.

Fasa pertama program COMEL dimulakan dengan Training for Trainer (ToT) kepada 8 orang guru dari empat buah sekolah terpilih, iaitu Sekolah Kebangsaan Jalan Raja Syed Alwi, Sekolah Rendah Islam 1, Sekolah Kebangsaan Felda Mata Ayer dan Sekolah Kebangsaan Putra. Turut terlibat ialah para pensyarah dari UiTM Cawangan Perlis, iaitu Puan Eliy Nazira Mat Nazir, Dr Nursyamilah Annuar, Dr Nur Fathihah Fauzi, Encik Sharir Aizat Kamaruddin serta Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi yang akan menyumbangkan kepakaran dalam pelaksanaan program COMEL. Program ToT ini dikendalikan oleh Dr. Ahmad Hanif Baharin dan Prof. Madya Dr. Wahiza Wahi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

YBhg. Rektor UiTM Cawangan Perlis dalam ucapan alu-aluan beliau menyatakan institusi seperti UiTM Cawangan Perlis tidak boleh bersikap evasif dalam pembangunan komuniti setempat. Oleh itu, kesediaan UiTM Cawangan Perlis dalam menyumbangkan kepakaran kepada komuniti di negeri Perlis terutama pelajar-pelajar dan guru-guru sekolah dalam usaha menarik minat para pelajar dalam bidang STEM merupakan suatu inisiatif yang amat penting. Beliau turut menyatakan kesediaan UiTM Cawangan Perlis untuk lebih proaktif dalam pembangunan komuniti setempat. Di samping itu, beliau turut berterima kasih kepada pihak FCoEE, UKM, dan JPN atas kerjasama dalam merealisasikan program COMEL.

Pengerusi FcoEE, YBhg. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin semasa menyampaikan ucapan perasmian.

Pengerusi FcoEE, YBhg. Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin dalam ucapan perasmian berbesar hati atas kesediaan institusi seperti UiTM Cawangan Perlis dan UKM dalam membantu pembangunan pelajar dan guru di negeri Perlis. Sementelahan pula, usaha sebegini amat penting dan amat dialu-alukan untuk memastikan para pelajar dan guru didedahkan dengan teknik terkini seperti gamifikasi yang dapat menjadikan pembelajaran lebih menarik dan berkesan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.