Oleh Nasir Hamid
29 Januari 2023, 20:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek telah menghadiri Majlis Sumbang Kasih Anak Terkesan COVID-19 Negeri Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawa, Padawan, Sarawak. Majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Farm Fresh dan Yayasan Didik Negara bagi membantu murid yang telah kehilangan penjaga, ibu dan bapa akibat wabak COVID-19.

Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh YB Fadhlina Sidek kepada penerima yang terdiri daripada pelajar dan waris. Dalam ucapannya pada majlis tersebut, YB Menteri Pendidikan itu berharap sumbangan yang dihulurkan tersebut dapat membantu meringankan beban dan menjaga kebajikan pelajar. Beliau juga berharap lebih banyak pihak prihatin terhadap isu ini. Farm Fresh diwakili oleh Encik Azmi Zainal, Ketua Pegawai Operasi Syarikat.

Dalam perkembangan yang sama, YB Menteri turut meluluskan peruntukan dana pembangunan sekolah sebanyak RM150 ribu kepada SMK Batu Kawa, Padawan. YB Fadhlina Sidek telah membuka ruang perbincangan dengan mengadakan sesi dialog bersama-sama pihak pengurusan sekolah dan ibu bapa bagi mendengar cadangan dan permasalahan dalam sistem pendidikan negara.

YB Fadhlina Sidek dibawa melawat tapak pembinaan projek bangunan tambahan SMK Batu Kawa.

Selain itu, YB Menteri turut berkesempatan meluangkan masa untuk melihat pameran dan inovasi yang diusahakan oleh guru dan pelajar dari sekolah di sekitar bahagian Kuching.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Pkharuddin Ghazali, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Malaysia, Dr. Hazami Jahari, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Dr. Norisah Suhaili, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Datu Dr. Azhar Ahmad, dan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai.

Sebelum berangkat pulang, rombongan YB Menteri telah diberi taklimat oleh pihak Jabatan Kerja Raya tentang status projek bangunan tambahan SMK Batu Kawa yang sedang dalam proses pembinaan. Rombongan kemudiannya dibawa melawat tapak pembinaan bagi melihat sendiri kemajuan projek tersebut. Majlis di SMK Batu Kawa merupakan penutup kepada lawatan rasmi YB Menteri dan Pengurusan Tertinggi KPM yang berlangsung dari 26 hingga 28 Januari 2023 di Sarawak sebelum kembali ke Kuala Lumpur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.